Amanah perlu strategi baharu dekati Melayu, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis berkata Amanah perlu menyusun strategi baharu berdasarkan analisis keputusan pilihan raya lepas dan mengambil kira prestasi parti yang tidak begitu cemerlang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2023.

AMANAH perlu memikirkan strategi baharu untuk menarik sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang selepas ia mengekalkan Mohamad Sabu untuk terus menerajui parti bagi satu penggal lagi, kata penganalisis politik.

Pimpinan parti bagaimanapun memberitahu biarpun Mohamad kekal presiden, satu pertiga daripada 27 anggota jawatankuasa nasional yang terpilih pada pemilihan parti hujung minggu lepas adalah lapisan muda, yang akan memberi kekuatan baharu kepada Amanah.

Pensyarah politik di Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Amanah sangat memerlukan strategi baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Strategi baharu itu harus disusun berdasarkan analisis keputusan pilihan raya yang lepas dan mengambil kira prestasi parti yang tidak begitu cemerlang, jelasnya.

“Fokus Amanah kepada pengundi muda dan golongan belia perlu diberikan strategi baharu agar tidak gagal lagi khususnya untuk berdepan dengan PAS.

“Amanah mesti lebih agresif berkempen untuk menangkis naratif pembangkang dari sekarang, bukan hanya masa dekat pilihan raya tetapi kena buat dari sekarang,” katanya.

Pemilihan parti yang berlangsung pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 menyaksikan Mohamad dilantik sebagai presiden bagi penggal ketiga, dan yang terakhir mengikut perlembagaan parti.

Pelantikan dibuat secara konsensus oleh 27 anggota jawatankuasa nasional yang dipilih oleh lebih 1,000 perwakilan pada Ahad, yang juga menamakan bekas naib presiden Mujahid Yusof sebagai timbalan presiden.

Pemilihan parti yang berlangsung pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 menyaksikan Mohamad Sabu dilantik sebagai presiden bagi penggal ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2023.

Tiga naib presiden yang baharu ialah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad; bekas exco Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Mujahid sebelum ini disebut-sebut calon yang mahu mengambil alih kepimpinan Amanah daripada Mohamad.

Amanah tidak menjalankan pemilihan langsung jawatan presiden sebaliknya lima jawatan tertinggi parti ditentukan oleh 27 anggota jawatankuasa nasional.

Dalam pada itu, Awang Azman berpendapat keputusan Amanah mengekalkan Mohamad untuk menerajui parti bagi sepenggal lagi adalah untuk mengukuhkan keharmonian terutamanya dalam parti serta antara parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan.

Beliau melihat keputusan pemilihan pada Ahad jelas menunjukkan pertembungan kuat antara dua kumpulan dalam Amanah, dan Mujahid dinamakan sebagai timbalan untuk mengukuhkan parti biarpun Dr Dzulkefly mendapat undi tertinggi.

“Jelas ada ada dua puak yang bersaing dalam Amanah iaitu kumpulan Mat Sabu dan Mujahid. Mujahid tak dapat undi tertinggi, tapi diberi jawatan nombor dua.

“Ini sebab beliau mewakili sebahagian besar kem yang bukan pro kepada presiden. Jadi keputusan melantik beliau ialah untuk mengharmonikan Amanah dan menyantuni presiden,” katanya.

Sementara itu, bendahari Pemuda Amanah Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar yakin kepimpinan barisan baharu yang terpilih dapat memainkan peranan menambah kekuatan Amanah menghadapi PRU16.

Katanya, biarpun parti dilihat mengekalkan status quo namun satu pertiga daripada ahli jawatankuasa yang terpilih adalah mereka yang berumur bawah 50 tahun.

Antaranya, bekas Adun Permatang Pasir dan peguam Faiz Fadzil; Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan; peguam Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan beberapa yang lain.

“Saf kepimpinan yang lebih muda ini dijangka dapat mendekatkan Amanah kepada pengundi bawah 40 tahun yang merupakan 58% daripada keseluruhan pengundi semasa PRU15. 

“Gabungan pengalaman dan kredibiliti pemimpin senior dan idea-idea segar ahli jawatankuasa muda bakal membentuk kekuatan Amanah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang perwakilan Amanah dari Kelantan yang hanya mahu dikenali sebagai Din berharap barisan kepimpinan baharu itu akan merangkul semula kekuatan sesama ahli parti untuk menghadapi PRU16. 

Katanya, mereka perlu bekerja keras untuk menarik dan mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu khususnya di kawasan luar bandar dan di tempat majoriti pengundi Melayu.

Beliau yakin kerjasama dengan Barisan Nasional khususnya Umno akan dapat mengembalikan sokongan Melayu kepada PH seperti semasa PRU14.

“Jika kesepaduan ini terus dieratkan, tak mustahil kerajaan perpaduan ini akan terus menerajui Putrajaya selepas PRU16,” katanya. – 27 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen