Pilihan raya PBT perlu situasi menang-menang, kata Mat Sabu


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT harus memberi situasi menang-menang kepada semua kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2023.

CADANGAN untuk melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus dipastikan dapat memberi situasi menang-menang kepada semua kaum, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, perbincangan lanjut dan kajian mendalam perlu dilakukan bagi memastikan setiap kaum berpuas hati dan berasa selamat dengan pelaksanaan pilihan raya itu.

“Kalau dipilih oleh rakyat, kena bekerja betul-betul untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan parti. Kena ambil hati rakyat dan kena pastikan tidak ada mana-mana rakyat yang tercicir,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang, Selangor hari ini.

Syor mengadakan pilihan raya PBT mendapat perhatian semula apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga ahli Parlimen Cheras mencadangkan perkara itu pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau percaya gabungan parti yang membentuk kerajaan perpaduan mampu menawan empat negeri yang ditakluk pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Kita mengamalkan politik kesederhanaan, saya yakin perpaduan akan terus kita berjalan baik, maka pada PRU16 nanti kerajaan perpaduan akan kembali memerintah dengan lebih bergaya,” katanya.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kini ditadbir oleh Perikatan Nasional. – Bernama, 24 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen