Kerajaan Anwar akan rampas 4 negeri Perikatan, kata Mat Sabu


Diyana Ibrahim

Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berucap pada Konvensyen Nasional Amanah di Klang, Selangor hari in. – Gambar Facebook, 23 Disember, 2023.

GABUNGAN kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan saja akan mendapatkan mandatnya semula melalui Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti malah akan merampas empat negeri yang kini ditadbir Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya, perkara itu tidak mustahil mengambil kira kekuatan rakan parti-parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan hari ini.

“Kerjasama erat kita dalam kerajaan perpaduan akan dapat rampas kembali empat negeri PN.

“Syaratnya, perpaduan kita saling bantu-membantu, bukan saling cah keting. Ini harapan kita… perpaduan akan lahir kekuatan,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Konvensyen Nasional Amanah di Klang hari ini.

Konvensyen tahunan dua hari ini juga menjalankan pemilihan parti bagi memilih barisan 27 pimpinan kanan yang akan menerajui Amanah sehingga 2026.

Amanah ditubuhkan oleh kumpulan profesional dan progresif dalam PAS yang terbuang ekoran pertembungan dengan kelompok yang dianggap konservatif dalam parti Islam itu pada 2015.

Kumpulan pemimpin profesional ini menolak keputusan PAS meninggalkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dengan PKR dan DAP.

Selepas itu, Amanah membentuk kerjasama baharu dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH). Gabungan baharu itu, yang kemudian pada masa itu disertai Bersatu, mengambil alih Putrajaya buat kali pertama pada 2018.

Dalam ucapannya, Mohamad turut mengupas kritikan terhadap kekuatan Amanah yang dikatakan merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Ini termasuk kemampuan Amanah untuk menarik pengundi Melayu, seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos.

Setakat ini, Amanah sudah melalui dua pusingan pilihan iaitu PRU14 dan PRU15 masing-masing pada 2018 dan 2022.

Pada PRU14, ia menang 11 kerusi Parlimen dan berkurang kepada lapan kerusi pada PRU15.

Menurut Mohamad, kekuatan Amanah yang tidak disedari umum ialah kekuatan strategi dan pendekatan politiknya yang menganjurkan politik koalisi.

Katanya, untuk memenangi pilihan raya, sesebuah parti politik perlu mencari rakan politik yang serasi dan mempunyai cita-cita serta matlamat yang sama.

“Ia bukan sekadar perkahwinan ikut keperluan sahaja, kerana (gabungan seperti itu) tidak akan kekal bahkan amat rapuh,” katanya. – 23 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen