Amanah akan bela semua rakyat, bukan hanya orang Islam, kata Mat Sabu


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata adalah penting bagi Amanah untuk menarik lebih ramai golongan bukan Islam menyertai parti itu. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2023.

AMANAH mesti membela semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama mereka, kata presiden parti itu Mohamad Sabu.

“Andaikan suatu hari nanti, orang bukan Islam berdepan penindasan. Amanah mesti (juga) membela kumpulan bukan Islam dalam situasi sebegitu,” katanya dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Kebangsaan Amanah di Klang hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata adalah penting bagi Amanah, yang merupakan sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan, untuk menarik lebih ramai golongan bukan Islam menyertai parti itu.

Oleh itu, katanya, adalah penting untuk mencerminkan konsep “rahmatan lil alamin” jika ia ingin menarik lebih ramai orang bukan Islam menyertai parti itu.

“Kami mahu lebih ramai orang bukan Islam menyertai perjuangan kami kerana Islam menyeru belas kasihan kepada semua, bukan sahaja untuk Melayu, India atau Cina, tetapi untuk semua.

“Dalam perjuangan kita menentang PAS, kita tidak boleh menggunakan kaedah mereka. Kita perlu mempertahankan pendekatan kita untuk menghulurkan belas ihsan kepada semua,” katanya.

Beliau juga berkata Amanah berpotensi memenangi kerusi di negeri-negeri Melayu yang didominasi Perikatan Nasional.

Bagaimanapun untuk ini, katanya perlu ada kerjasama dan sokongan melibatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan.

“Jika ada kerjasama yang kukuh dalam kerajaan, Amanah mungkin boleh memenangi enam atau tujuh kerusi di Kelantan dan juga boleh menang di Terengganu dan Kedah.

“Untuk Amanah menang secara solo di Kelantan hanyalah angan-angan, tetapi masa depan tidak dapat dijangka. – 24 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen