Mohamad Sabu kekal presiden Amanah, Mujahid timbalan


Diyana Ibrahim

Mohamad Sabu hanya menduduki tempat kelapan dalam pemilihan barisan kepimpinan tertinggi tetapi dipilih sekali lagi sebagai presiden Amanah. – Gambar Facebook Parti Amanah Negara, 24 Disember, 2023.

MOHAMAD Sabu dipilih sekali lagi sebagai presiden Amanah untuk penggal ketiga dan terakhir bagi tempoh tiga tahun sehingga 2026.

Perlembagaan parti Amanah mengehadkan jawatan presiden dipegang selama tiga penggal sahaja.

Senator Mujahid Yusof yang sebelum ini disebut-sebut pencabar jawatan presiden dinamakan sebagai timbalan presiden.

Pemilihan mereka dibuat dalam mesyuarat 27 ahli jawatankuasa pimpinan nasional Amanah yang baharu yang diundi oleh lebih 1,000 perwakilan dalam konvensyen parti hari ini.

Pemilihan 27 anggota barisan kepimpinan tertinggi Amanah itu didahului oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengumpul 900 undi.

Dzulkefly dilantik naib presiden bersama Siti Mariah Mahmud dan timbalan menteri pertahanan Adly Zahari.

Mohamad yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan berada pada kedudukan kelapan dengan 613 undi sementara Mujahid di tempat keempat dengan 699 undi.

Amanah tidak menggunakan sistem pemilihan pimpinan parti yang mempertandingkan jawatan sebaliknya pemegang jawatan dipilih oleh anggota jawatankuasa yang terpilih.

Pemilihan 27 ahli jawatankuasa nasional itu ditandingi 98 calon.

Antara penyandang yang tersingkir daripada jawatankuasa tertinggi parti termasuk Adun Kota Lama, Hafidzah Mustakim; bekas ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Rahim Wan Abdullah serta Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan. – 24 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen