Selangor tarik diri dari Piala Sumbangsih


Poster yang dimuat naik sebagai tanda solidariti terhadap pemain Selangor FC Faisal Halim yang diserang asid Ahad lepas. – Gambar Facebook, 9 Mei, 2024.

PASUKAN bola sepak Selangor menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok atas kebimbangan terhadap keselamatan pemain.

Perlawanan pembukaan musim dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Keputusan Selangor dibuat berikutan serangan asid terhadap pemainnya Faisal Halim Ahad lepas.

Dua lagi pemain utama Akhyar Rashid dan Safiq Rahim turut diserang dalam insiden berasingan.

Akhyar diserang dan dirompak di Terengganu manakala kereta Safiq dirosakkan oleh penyerang di Johor.

“Selepas penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling Utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Liga Bola Sepak Malaysia menolak permintaan Selangor untuk menangguhkan perlawanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards dalam pada itu berkata pasukannya kecewa dengan penarikan diri Selangor.

Beliau menambah polis memastikan keselamatan pasukan, pemain dan peminat dengan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota polis.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia,” katanya.

“Kami pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.

“Walaupun insiden baru-baru ini melibatkan Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita mesti meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk bukan sahaja menyiasat kes tersebut tetapi juga untuk melindungi keselamatan kita dan memastikan perjalanan musim bola sepak 2024-25,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Selangor kecewa

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menzahirkan rasa kecewa susulan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan, esok.

Baginda juga menyokong penuh keputusan Selangor FC untuk tidak menyertai perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT.

Selaku penaung Selangor FC, Istana Alam Shah dalam satu kenyataan hari ini bertitah Sultan Sharafuddin percaya adalah wajar pasukan itu tidak menyertai kejohanan itu berikutan beberapa insiden yang mengancam nyawa membabitkan pemain dan pegawai.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira.

“Justeru, beta menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence,” titahnya menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Tambahnya, Seri Paduka turut bertitah Selangor FC bersedia berdepan sebarang tindakan susulan daripada keputusan tidak menyertai perlawanan itu. – 9 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen