Tindak Malaysia gesa reformasi proses lantikan SPR segera


KUMPULAN reformasi pilihan raya Tindak Malaysia menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pembaharuan dalam pelantikan ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko berkata dalam satu kenyataan hari ini, pindaan itu tepat pada masanya kerana SPR bakal diterajui oleh pengerusi baharu.

“Memandangkan pilihan raya memberi legitimasi kepada kerajaan persekutuan dan negeri, kami menyeru kerajaan sedia ada memperlihatkan komitmen pembaharuannya dengan merujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sedia ada dan bersedia bagi pindaan perlembagaan yang lebih meluas mengenai pilihan raya.

“Masa singkat dan tidak boleh disia-siakan peluang keemasan ini,” katanya.

Pengerusi semasa, Abdul Ghani Salleh menamatkan perkhidmatannya hari ini.

“Persoalan utama ialah siapa yang akan menjadi pengganti bagi jawatan itu,” kata Danesh.

Awal bulan ini, SPR mengumumkan pelantikan Sapdin Ibrahim sebagai ahli SPR baharu. Tahun lepas, ia mengumumkan pelantikan Lee Bee Phang sebagai ahli.

Kedua-dua pelantikan ini menimbulkan persoalan penting mengenai pendirian kerajaan semasa terhadap reformasi pilihan raya dan institusi, kata Danesh.

“Tindak Malaysia dimaklumkan yang pelantikan Sapdin baru-baru ini tidak melalui sebarang semakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Pelantikan baru-baru ini sepatutnya mendorong pindaan perlembagaan bagi memastikan komposisi SPR yang benar-benar memberi keyakinan kepada orang ramai,” katanya.

Di bawah sistem sekarang, pengerusi SPR, timbalan pengerusi dan lima pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Perlembagaan menyatakan komposisi ahli SPR perlu mendapat keyakinan awam.

Bagaimanapun, Tindak Malaysia, seperti kumpulan reformasi pilihan raya yang lain seperti Bersih berkata kerajaan boleh membincangkan calon SPR yang layak melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan mengemukakan nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tindak Malaysia menambah, bagi mereformasi proses pelantikan SPR, kerajaan mesti meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah cadangan pindaannya, Tindak Malaysia mahu komposisi SPR turut mendapat persetujuan daripada ketua pembangkang.

“Ahli SPR hendaklah diambil daripada pelbagai sektor dan profesion dan mesti menunjukkan pengetahuan atau minat dalam hal-hal pilihan raya. Sekurang-kurangnya setiap seorang dari Sabah dan Sarawak.”

Danesh berkata Tindak Malaysia mengemukakan cadangannya melalui Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (pada 2018), Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (2019), SPR (2023) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (2023).

Beliau berkata adalah penting mempunyai SPR bebas, terutamanya dengan kemungkinan persempadanan semula akan datang dan pangkalan pengundian pos yang diperluaskan. – 9 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen