Bersih kesal lantikan ahli baharu SPR tidak telus 


PELANTIKAN ahli baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini tanpa semakan Parlimen memberi gambaran buruk berhubung janji kerajaan untuk melakukan pembaharuan, kata Bersih.

Bersih berkata SPR menerima ahli terbarunya, Sapdin Ibrahim, yang memulakan tugas pada Isnin, melalui catatan di laman Facebook mereka.

Beliau berkata parti pemerintah berjanji pelantikan penting akan disemak melalui Jawatankuasa Khas Parlimen.

“Perkembangan lantikan terbaharu SPR ini adalah sangat mengecewakan dan menunjukkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan madani tidak serius untuk mereformasi SPR.

“Kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan komponen terbesar di dalam kerajaan madani kini, namun kedua-dua gabungan tersebut tidak menghormati manifesto yang mereka sendiri rangka, sekaligus memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan madani tidak serius dalam usaha untuk mereformasikan institusi dan membawa budaya politik yang lebih progresif serta inklusif,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Bersih berkata pembaharuan mengenai pelantikan penting dijanjikan dalam kedua-dua manifesto pilihan raya PH dan BN.

Ia berkata kerajaan mesti membuat perubahan dengan segera mengumumkan pelantikan pengerusi baharu SPR seterusnya akan dibuat selepas melalui  Jawatankuasa Tetap Parlimen Hal Ehwal Pilihan Raya.

Ia menambah jawatankuasa tetap itu harus terdiri daripada ahli Parlimen dwipartisan dan menetapkan proses dan kriteria yang jelas untuk melantik pengerusi SPR baharu.

“Sekiranya perkara tersebut tidak dilaksanakan, kerajaan madani dan perdana menteri tidak lagi wajar menjaja perkataan reformasi yang setakat ini hanya seperti menanam tebu di tepi bibir sahaja. 

“Rakyat akan terus mempersoalkan sejauh manakah iltizam reformasi yang dilaungkan,” kata Bersih. – 8 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen