MCKK, buli dan kesenjangan sosial


Ruhan Shahrir

Pembezaan hierarki dan kedudukan sosial sekolah di Malaysia seperti MCKK juga adalah suatu bentuk kesenjangan sosial yang mempengaruhi pula tindak-tanduk pelajarnya. – Gambar Facebook, 11 November, 2023.

KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tular minggu lepas.

Institusi pengajian menengah yang dijuluki sebagai “crème de la crème” dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tular bukan kerana kecemerlangan pencapaian akademik pelajarnya.

Tular bukan kerana penciptaan kaedah baharu untuk menguruskan pencemaran alam.

Bukan juga tular kerana kerja-kerja sukarelawan membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah. MCKK tular kerana kes “buli”. 

Meskipun buli sering dikaitkan dengan psikologi individu yang muncul daripada sikap, perangai, tingkah laku, didikan awal keluarga serta pengaruh media dan rakan sebaya, namun pada analisis yang lebih kompleks ia terhasil daripada sistem sosial yang wujud dalam sesebuah masyarakat. 

Sistem sosial yang membezakan status dan kedudukan sosial individu sama ada dari sudut kepemilikan ekonomi, hubungan kuasa, kewujudan hierarki yang dinormalisasikan dan norma serta budaya yang diterima sama ada tersurat atau tersirat oleh masyarakat atau kumpulan cenderung menghasilkan tindakan membuli. 

Dengan kata lain, buli terjadi kerana wujudnya kesenjangan (ketaksamaan) struktur sosial dalam masyarakat yang mendorong untuk ia dilakukan. Pembezaan adalah kunci yang boleh membuka pintu untuk buli terjadi. 

Namun pembezaan itu sendiri tidak semestinya akan menghasilkan buli. 

Tetapi pembezaan sama ada dari sudut kelas ekonomi, kuasa yang dimiliki, kekuatan fizikal, gender, umur, etnik, ras, agama, saiz badan, orientasi seksual, budaya senioriti dan machoisme atau kejantanan (dalam konteks buli di kalangan lelaki) yang disertai pula oleh proses interaksi yang berlandaskan kesenjangan (ketaksamaan) sosial antara pembuli dan mangsa, maka buli cenderung berterusan.

Justeru, buli dalam pemahaman yang lebih halus dan mendalam adalah suatu proses interaksi antara pembuli dan mangsa yang terhasil akibat daripada kesenjangan struktur sosial yang wujud dalam masyarakat yang mensosialisasikan orang muda khususnya di sekolah untuk menerima kesenjangan sosial tersebut. 

Sekolah secara “Foucauldiannya” adalah agen sosialisasi untuk menormalisasikan kesenjangan sosial yang wujud dalam masyarakat.

Ini tentunya tidak bermaksud sekolah adalah alat menormalisasikan buli tetapi buli yang berlaku di sekolah adalah cerminan kepada kesenjangan struktur sosial yang wujud di dalam dan di luar sekolah.

Kesenjangan struktur sosial

Justeru, tingkah laku Koleq (nama yang diberikan sendiri oleh pelajar MCKK kepada sekolah mereka), sama ada pelajarnya, gurunya, pentadbirnya serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Gurunya (PIBG) beroperasi di dalam kesenjangan struktur sosial yang sudah pun tersulam di dalam masyarakat luas dan juga di sekolah mereka.

Di tingkat masyarakat luas, MCKK adalah salah satu antara SBP yang ada di Malaysia.

SBP dibezakan daripada sekolah harian biasa. Dalam kalangan SBP pula dibezakan antara SBP elit dan SBP biasa. MCKK dianggap sebagai sebahagian daripada SBP kategori elit. 

Pembezaan hierarki dan kedudukan sosial sekolah di Malaysia seperti ini juga adalah suatu bentuk kesenjangan sosial yang mempengaruhi pula tindak-tanduk Koleq (baca: pelajar, guru, pentadbir, PIBG dan “old boy”nya).

Justeru, tidak menghairankan surat kenyataan rasmi pihak PIBG MCKK menyelar tindakan keluarga mangsa buli yang menularkan kes tersebut ke media sosial sebagai “memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada The Malay College Kuala Kangsar secara keseluruhannya”, tidak langsung mengutuk perbuatan buli dilakukan oleh pelajar terlibat.

Begitu juga dengan screenshot perbualan Facebook dari “old boy”nya yang tular di media sosial bertanya apakah keluarga yang mempersoalkan tindakan sekolah dalam kes buli tersebut datang daripada keluarga “kayangan atau marhaen”. 

Turut diajukan dalam perbualan Facebook itu yang keluarga tersebut adalah “squash court material”.

“Squash court” dalam konteks idiom bahasa “budak-budak Koleq”, adalah ruang tertutup untuk diberlakukan kekerasan fizikal secara beramai-ramai kepada mana-mana pelajar junior yang “melanggar norma dan budaya asrama di Koleq”.

Cuplikan daripada kenyataan dan perbualan yang dinyatakan di atas adalah cerminan bagaimana kesenjangan struktur sosial yang wujud dalam masyarakat mempengaruhi interaksi mereka yang terlibat baik secara langsung mahu pun tidak langsung di dalam kes tersebut. 

Dalam konteks ini kedudukan sosial mereka yang relatifnya tinggi di dalam masyarakat membentuk “elitisme” dalam kalangan mereka dan ia mendorong pula mereka untuk mempertahankan “ke-elitan” tersebut atas nama “menjaga imej” sekolah. Manakala permasalahan buli disapu di bawah tikar. 

Begitu juga cara yang diajukan untuk menangani keluarga yang menularkan kes tersebut menunjukkan bagaimana kedudukan status sosial para “old boy” MCKK berkenaan mempengaruhi mereka untuk menjadikan kes tersebut sebagai bahan gurauan atau melawak dengan ayat seperti “kayangan atau marhaen”, “squash court material”, “pukul beramai-ramai”. 

Sungguh pun ia mungkin dilakukan dengan tujuan gurauan dalaman sesama “budak Koleq”, namun ia adalah suatu cerminan “Freudian slip” yang mendedahkan psiki bawah sedar mereka.

Suatu bentuk kesenjangan sosial yang wujud di dalam masyarakat yang dizahirkan oleh mereka di media sosial.

Memandang keluarga yang menularkan kes tersebut bukan daripada kelas kayangan maka mereka layak dijadikan “squash court material”.

Kes buli di MCKK

Untuk menanggapi kes buli yang terjadi di MCKK baru-baru ini, kita memerlukan fakta lebih terperinci.

Sukar untuk kita membuat kesimpulan yang lebih tuntas tanpa kita mengetahui kejadian yang berlaku itu dengan menyeluruh dan mendalam. 

Setakat ini fakta kejadian yang diperolehi cenderung terpencar, pelbagai versi dan daripada sumber media sosial yang berkemungkinan bias, bersifat “secondary” dan tidak dapat untuk ditentukan kesahihannya. 

Namun pada prinsipnya sebarang penggunaan kekerasan fizikal yang mendatangkan kecederaan antara pelajar sekolah dalam menangani isu yang terjadi antara sesama mereka adalah sesuatu yang sepatutnya tiada tolak ansur.

Akan tetapi memandangkan terdapat ketidakpuasan hati daripada keluarga mangsa yang dikatakan dibuli itu, mengenai keputusan hukuman yang dijatuhkan oleh pihak sekolah terhadap pelajar yang dituduh membuli, maka penelitian terhadap takrif dan panduan menangani buli yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diperlukan.

Takrif rasmi buli

Pada 2005, KPM menerbitkan cetakan pertama sebuah buku “Panduan Pengurusan Menangani Buli di Sekolah” dengan cetakan keduanya yang dikemas kini pada 2014.

Buli mengikut buku panduan tersebut adalah “perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang murid atau kumpulan murid supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru; atau perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang murid atau kumpulan murid yang biasanya lemah untuk menggertak atau menakutkan murid atau kumpulan murid bekenaan”.

Selanjutnya buku panduan tersebut menyenaraikan kesan amalan buli, jenis perbuatan yang dianggap sebagai buli, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya buli, pengurusan disiplin untuk menangani buli di sekolah, kegiatan yang disarankan untuk menangani buli dan disertakan juga carta aliran yang sistematik bagaimana untuk menguruskan kes buli yang berlaku di sekolah. Relatifnya lengkap!

Dalam buku panduan tersebut turut disertakan lampiran yang sebahagiannya berupa surat pekeliling daripada pengarah Pendidikan Malaysia ketika itu, Alimuddin Bin Haji Mohd Dom.

Dua surat yang cukup penting. Pertamanya surat bertarikh 11 Mac 2009 yang memuatkan arahan buat semua peringkat institusi di bawah KPM termasuk sekolah untuk mengambil tindakan tegas menangani tingkah laku ala samseng termasuk perbuatan buli. 

Surat keduanya, bertarikh 29 Julai 2010 mengenai garis panduan mencegah dan menangani perbuatan buli di kalangan murid sekolah.

Termasuk dalam garis panduan tersebut adalah berkenaan tanggungjawab menghukum dan jenis hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang dibuktikan bersalah dalam melakukan buli, termasuklah hukuman buang sekolah bagi kes-kes serius yang melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Menguruskan kes buli

Setelah mencermati buku “Panduan Pengurusan Menangani Buli Di Sekolah”, saya berpandangan KPM sudah menyediakan kaedah dan tatacara pengurusan serta menyenaraikan jenis hukuman bagi kes buli di sekolah yang relatifnya agak lengkap dan menyeluruh.  

Persoalannya, apakah pihak sekolah (dalam kes ini, MCKK) sudah mematuhi bukan hanya kaedah pengurusan kes, tetapi juga adakah tatacara menjatuhkan hukum serta jenis hukuman yang diputuskan itu selari dengan niat, keinginan dan matlamat yang ingin dicapai oleh KPM untuk membanteras amalan buli di sekolah Malaysia? 

Ketidakpuasan hati keluarga mangsa dengan hukuman dijatuhkan oleh pihak sekolah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang.

The devil is in the details. Intipatinya ada dalam perinciannya. Sarap sehelai dituilkan, batu sebuah digulingkan. – 11 November, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen