Polis siasat kes buli di MCKK


Polis sedang menyiasat kes buli yang didakwa melibatkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima di MCKK. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

POLIS sedang menyiasat kes buli yang didakwa melibatkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata satu laporan dibuat selepas kejadian itu tular di Instagram.

“Buli itu berlaku pada 24 September kira-kira jam 10.05 malam. Dalam kejadian itu mangsa pelajar tingkatan empat dibelasah oleh pelajar tingkatan lima.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan lanjut mendapati fizikal normal dan mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut New Straits Times tiga pelajar tingkatan empat terlibat dalam kejadian buli itu di mana mereka dipukul oleh lima pelajar tingkatan lima.

Sementara itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu.

Persatuan itu menerusi catatan Facebooknya melahirkan rasa kesal dengan tindakan keluarga pelajar yang dibuli itu menyebarkan kes itu di media sosial.

Mereka berkata posting itu memberi impak besar dan merosakkan imej baik sekolah sebagai institusi yang berwibawa.

Kenyataan itu berkata PIBG sedia maklum kes disiplin membabitkan kejadian buli itu sudah pun disiasat dan pihak sekolah mengambil tindakan.

“Pendirian itu antara lain tindakan yang diambil oleh pihak sekolah perlu dihormati berdasarkan pertimbangan sewajarnya yang diberikan demi kebajikan dan kebaikan semua, selain itu pihak sekolah mematuhi segala prosedur yang sepatutnya dalam membuat keputusan.

“Kami sedar ancaman yang tular daripada kes ini melalui surat yang dihantar oleh sekumpulan ibu bapa pelajar tingkatan empat sekiranya keputusan dan tindakan semasa sekolah berhubung pelajar terbabit tidak diubah.”

“Kami mengecam cubaan campur tangan ibu bapa yang terlibat dalam pengurusan sekolah ini,” kata kenyataan itu. – 6 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen