Anwar mahu KPM, KPT tumpu tingkat mutu pendidikan negara 


KPM dan KPT diarah memberi penumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan negara seawal tahun hadapan sejajar dengan penambaikan fasiliti dilakukan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2023.

USAHA kerajaan perpaduan menambah baik fasiliti pembelajaran di seluruh negara perlu diterjemahkan dengan peningkatan mutu pendidikan murid dan pelajar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi penumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan negara seawal tahun hadapan sejajar dengan penambaikan fasiliti itu.

“Tahun ini kita banyak beri perincian, penumpuan kepada keperluan murid dan pelajar selain meningkatkan fasiliti pendidikan di seluruh negara. Tandas dah elok, pembinaan sekolah baharu (menggantikan yang daif) dah siap, prasarana kemudahan semua dah cukup.

“Nak bantuan pun kita bagi, jadi (tahun hadapan) prestasi tak boleh sama macam tahun lepas (2023), kena ada peningkatan, kalau prestasi anak murid tak berubah, kita tidak mahu. Saya dah bagi tahu Fadhlina Sidek (menteri pendidikan) dan Khaled Nordin (Mohamed Khaled Nordin, menteri pendidikan tinggi) tumpuan lepas ini angkat dan tingkat mutu pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di Bangi hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh maju dan membangun sekiranya mutu pendidikannya tidak meningkat.

Beliau berkata penekanan berkaitan keperluan dan kepentingan meningkatkan mutu pendidikan negara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang akan dipengerusikannya Jumaat ini. 

Katanya ikhtiar meningkatkan mutu pendidikan negara bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada usaha kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ya betul, kementerian kena fokus untuk bangunkan penguasaan anak-anak dalam bahasa, matematik, angka, sains dan komputer, tapi juga saya minta PIBG bincang bagaimana penglibatan ibu bapa ini.

“Di rumah pula kita galak ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak mereka, setiap malam, pastikan bagaimana anak-anak ini sekurang-kurangnya setengah jam, atau satu jam mereka ulang kaji pelajaran,” katanya.

Anwar berkata guru-guru bagi setiap mata pelajaran juga perlu memperincikan cadangan baharu dalam usaha meningkatkan kefahaman murid dan pelajar dalam setiap subjek. – Bernama, 7 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen