KPM sedia jumpa ibu bapa mangsa buli MCKK, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata pihaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedia bertemu dan berbincang dengan ibu bapa atau waris kepada pelajar yang dikatakan menjadi mangsa buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata pihaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan sentiasa terbuka untuk berbincang berhubung perkara itu.

“Saya nak tekankan kes ini dalam siasatan, memang di dalam pengetahuan KPM, dan ia juga sedang dalam siasatan polis. Kita di peringkat KPM telah mengambil tindakan sewajarnya dan yang sepatutnya. Bagaimanapun kita faham perasaan ibu bapa mangsa, jika mereka nak jumpa, kita mengalu-alukan.

“Tiada masalah malah kita terbuka dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak, kita melayan semua pihak sama dan bagi kita semua pelajar adalah sama,” kata ahli Parlimen Tanjong itu kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Ketipang Payung Sekolah Kebangsaan(SK) Tan Sri P Ramlee di George Town hari ini.

Pada 4 November lepas, polis mengesahkan berlaku kes buli membabitkan pelajar sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar bulan lepas seperti yang tular dalam media sosial, dan media pula melaporkan rasa tidak puas hati kedua-dua pihak, yakni pelajar Tingkatan empat yang dibuli dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Sementara itu di Ipoh, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata kertas siasatan kes buli di MCKK itu telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, dan kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya Isnin lepas.

“Setelah dapat laporan (berkenaan kes itu), kita (polis) pun dah buat siasatan. Isnin lepas kita dah hantar kertas siasatan ke DPP (timbalan pendakwa raya) dan kini menunggu arahan daripada DPP,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama, 8 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen