Pesimistik PAS kian menebal selepas Muktamar


Fakhrurrazi Rashid

Pembawakan politik pesimistik PAS sebenarnya adalah bom jangka yang bakal menjadi ancaman terbesar buat negara jika ia tidak dibatasi dengan cermat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

MUKTAMAR PAS ke-69 menyaksikan PAS masih tersepit daripada fenomena politik pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung Ogos lalu.

Mesej menghentam pihak lawan dan isu yang boleh memecahkan keharmonian masyarakat majmuk telah mendominasi muktamar kali ini.

Perkara seperti menggelar orang bukan Islam sebagai ‘kafir’, menakutkan orang Melayu tentang DAP dan gaya kepimpinan yang di luar batasan moral dan kesopanan budaya ketimuran, menunjukkan PAS masih terperangkap dengan politik pesimistik.

Mesej politik PAS melebarkan jurang antara agama dan negara yang sepatutnya berjalan seiring untuk membina negara sejahtera dan stabil.

PAS masih tidak muak mengejar kuasa tanpa mengambil peduli akan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pemimpin tertinggi PAS semakin lantang menyatakan Kerajaan Perpaduan ini tidak akan bertahan lama dan mereka menghampiri tampuk kuasa di Putrajaya.

Timbalan Presiden MTB (menang tanpa bertanding), Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kedudukan PAS yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat tapi gagal menjadi kerajaan sebagai ‘tanda kiamat’ untuk politik negara.

Ironinya, tanda kiamat ini hanya akan hilang jika PAS menjadi kerajaan.

Dalam tulisan  minggu lalu, saya pernah menjelaskan perhitungan untung rugi PAS jika menyertai kerajaan perpaduan dengan hujah parti itu boleh menstabilkan suasana politik negara yang kian runcing akibat politik kaum dan agama.

Menyertai Kerajaan Perpaduan juga membolehkan PAS menikmati sokongan masyarakat dan pemimpin pelbagai kaum.  

Kebanyakan orang Melayu lebih selesa jika parti terbesar Melayu iaitu PAS-Umno membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Begitu juga dalam konteks mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan adalah solusi alternatif untuk menjenamakan semula PAS di mata pengundi bukan Melayu.

Pendekatan ini sudah berhasil sejak 2008 dan tidak perlulah Presiden PAS terpaksa memberitahu ahlinya untuk tidak memainkan isu istilah kafir bagi memenangi hati pengundi bukan Islam.

Nampaknya PAS sendiri mengakui sokongan bukan Melayu penting untuk membentuk kerajaan sama seperti DAP memerlulan sokongan orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya dengan selesa.

Namun muktamar PAS menetapkan pendirian untuk tidak bersama Kerajaan Perpaduan.

Menurut Presiden PAS, parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yang mempunyai bekas banduan, kluster mahkamah dan bekas perasuah. Sedangkan, semua kategori manusia ini pernah bekerjasama dengan PAS.

Idris Ahmad, Naib Presiden PAS menyatakan DAP akan meninggalkan kerajaan jika Umno tidak lagi menuruti permintaan mereka. Mengapa persoalan ini ditujukan kepada DAP?

Jika ikut jumlah kerusi, dengan keluarnya DAP daripada Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim hanya ada 107 kerusi dan Kerajaan Perpaduan hilang kepercayaan membentuk kerajaan.

Berbeza jika BN keluar kerajaan kerana Anwar Ibrahim masih ada 117 kerusi dan kerajaan boleh terus mentadbir dengan jumlah tipis.

Ini menonjolkan kehalusan seni PAS dalam konteks propaganda politik. Tetapi, perhitungan politik ini sukar berlaku buat masa ini memandangkan DAP dan BN tidak berbelah bahagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

SG4 sukar dicapai?

Dari sudut yang lain, PAS turut menunjukkan sisi kemajuannya dengan memperkenalkan konsep “State-Government 4” atau lebih popular dengan SG4 sebagai satu usaha kolektif kerajaan negeri di bawah PAS untuk meningkatkan ekonomi negeri sebagai satu pasukan yang utuh.

Mereka menganggap langkah ini lebih strategik dengan bantuan Dr. Mahathir bin Mohamad yang kaya dengan pengalaman mentadbir dan mengurus ekonomi Malaysia.

Ada yang mendakwa SG4 hanyalah satu blok untuk mencabar perancangan ekonomi yang dibuat oleh Putrajaya dan Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan SG4 ini hanyalah langkah strategik ekonomi di peringkat negeri dan mereka perlu terus bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk meningkatkan tahap ekonomi kerajaan negeri pimpinan PAS.

Penubuhan SG4 semata-mata tidak akan memberi nilai tambah jika kerjasama ini tidak member impak dalam soal kesejahteraan hidup rakyat khususnya dalam aspek infrastruktur, prasarana, dan jaminan kerja buat anak muda yang masih  yang masih lagi rendah.  Kriteria ini mungkin menjadi indikator dalam menilai kejayaan SG4.

Tetapi SG4 sendiri akan tenggelam kerana politik sentimen PAS lebih tertumpu kepada isu kaum, agama dan politik memburukkan lawan, baik di dalam parlimen atau gelanggang pilihan raya.

PAS terus pesimistik

Pembawakan politik pesimistik PAS sebenarnya adalah bom jangka yang bakal menjadi ancaman terbesar buat negara jika ia tidak dibatasi dengan cermat.

Ketidakfahaman pemimpin PAS dalam konteks kenegaraan dan kemajuan boleh menjadi faktor anasir-anasir luar mudah menyerap masuk bagi menggugat kestabilan negara.

PAS tidak sedar agama adalah perkara paling penting bagi rakyat Malaysia.

Politik berteraskan agama sepatutnya menjadikan PAS sebagai pendorong dan memberikan harapan cerah kepada rakyat, bukan memecahbelahkan perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama.

Malangnya selepas memperoleh keputusan yang baik dalam pilihan raya, PAS seperti memandu masyarakat menjadi pesimis dan menimbulkan keresahan orang Melayu dan Islam akan hilang akidah atau peganganya jika berbeza pandangan.

PAS perlu sedar agama dan negara harus bergerak seiring dan saling menguatkan antara satu dan yang lajn untuk mencapai kemajuan. Pertembungan antara kedua-duanya hanya membawa Malaysia ke lembah perpecahan.

Jika PAS faham akan konteks ini, sudah pasti masyarakat berbilang etnik dan agama tidak mempunyai masalah untuk menyokong PAS.

Jika tidak, PAS akan berada dalam dilema dan terus memainkan sentimen agama dan kaum kerana ketandusan idea membawa hujah baharu dalam membentuk Malaysia yang berbilang bangsa. – 25 Oktober, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen