PAS elak terperangkap agenda musuh, kata Tuan Ibrahim


Mohd Farhan Darwis

Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli PAS reda dengan keputusan dan tidak mencetuskan kekecohan disebabkan rasa tidak puas hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2020.

PAS tidak meletakkan calon dalam PRN Sabah bagi mengelakkan parti Islam itu terperangkap dalam agenda musuh, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau meminta ahli reda dengan keputusan dan tidak mencetuskan kekecohan disebabkan rasa tidak puas hati.

“Jangan lihat agenda musuh, (PAS) bertanding, pecah (undi) dan mereka menang. Kita berjaya elak perangkap musuh. Kadang-kadang kita terpaksa tunduk kepada keputusan besar,” katanya.

Dalam ucapan ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Kelantan itu beliau menggesa ahli mematuhi arahan pemimpin parti untuk tidak bertanding.

“Tanggungjawab pemimpin meredakan ahli, bukan menimbulkan kekeliruan, bukan kekecohan, bukan timbulkan rasa tak puas hati sebaliknya meredakan keadaan.

“Ada tanya kenapa PAS tak letak sahaja calon di Sabah, letak 10 (calon), bendera PAS kena naik walaupun hilang deposit…

“Kita kena patuh sebab dia presiden kita,” katanya, merujuk kepada keputusan dinyatakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada malam tadi.

Sebelum rundingan agihan kerusi dimuktamadkan, PAS dibelit kontroversi sejak dua minggu lalu ekoran kenyataan kontroversi seorang wakil rakyatnya, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Ketika membahas rang undang-undang untuk meningkatkan hukuman pada pemandu mabuk pada bulan lalu, ahli Parlimen Pasir Puteh itu mendakwa terdapat fakta salah dalam kitab Injil.

Ia mengundang cabaran dari pemimpin tempatan Sabah untuk beliau tampil ke negeri yang ramai penganut Kristian itu mengulangi ucapan tersebut semasa berkempen dalam PRN.

PAS tewas di kesemua 18 kerusi Dun dan 8 kerusi Parlimen Sabah yang ditandinginya dalam PRU14.

Pembangkang di Sabah itu menentang gabungan bersama parti kerajaan, Warisan Plus yang dianggotai Warisan Sabah, Pakatan Harapan dan Upko.

Penamaan calon untuk 73 kerusi DUN Sabah bermula hari ini dan pengundian akan berlangsung pada 26 September. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen