Sabar sekejap, kata Hadi Awang


Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika berucap pada Muktamar PAS ke-66 yang diadakan di Pengkalan Chepa, Kelantan.– Gambar Facebook PAS Pusat, 13 September, 2020.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang meminta partinya bersabar untuk melihat hasil baik daripada penyertaan parti Islam itu dalam gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan.

Beliau membuat seruan itu ketika ada suara tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pimpinan parti selepas PAS tidak diberikan satu kerusi pun bertanding pilihan raya negeri Sabah.

Katanya, PAS mengambil pendekatan proaktif dalam isu itu sehingga ia dihormati dan disegani, dan tidak dilihat sebagai mengacau.

“PAS ambil tindakan proaktif dalam menangani isu Sabah. Ini mesti faham. Penyertaan dalam kerajaan bukan mesti jadi wakil rakyat atau sertai pilihan raya.

“Dalam politik ada kerajaan teknokrat, yang penting PAS disegani dan dihormati dan tidak mengacau.

“Sabar sekejap… kita perlu ambil pendekatan bersatu dalam mencari titik persamaan,” kata Abdul Hadi, dalam ucapan penggulungan menutup Muktamar PAS ke-66 di Pengkalan Chepa, petang tadi.

Abdul Hadi menjelaskan kedudukan PAS yang tidak mendapat kerusi dalam PRN Sabah yang akan berlangsung 26 September ini.

PAS sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding 10 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah yang bermula semalam. Ia juga sempat melancarkan jentera di dua kawasan, yang membayangkan kesediaannya bertanding di sekurang-kurang di dua kerusi.

Dalam PRU14, PAS bertanding 8 kerusi Parlimen dan 18 kerusi negeri, termasuk menampilkan calon bukan Islam.

Dalam ucapannya ahli Parlimen Marang itu menegaskan walaupun keputusan tidak bertanding melihatkan seolah-olah PAS beralah, parti itu tetap tegas dengan perkara dasar.

“Rahsia kekuatan kita ialah beristiqamah bersama Islam. Tegas dengan dasar, fleksibel dalam politik.

“Teguh dengan Islam, tapi dalam politik mesti bijak, kita yang memperkenalkan budaya politik matang dan sejahtera, pendekatan ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata ahli parti juga tidak perlu bimbang dengan perkara itu kerana sejarah kerjasama politik PAS sejak tahun 1960-an menunjukkan parti Islam itu sentiasa beroleh keuntungan.

Malah katanya, seringkali yang berlaku adalah rakan kongsi politik mereka yang hanyut sedangkan PAS tetap bertahan dan semakin teguh.

“Kita berpegang teguh dengan Islam, hanya Islam selamatkan Melayu… tegak Islam Melayu selamat, semua selamat. Tegak Melayu tanpa Islam, Melayu tak selamat, semua tak selamat.

“Ada yang tak percaya, pilih jalan pintas, nak menang cepat, mereka inilah yang ada penyakit, iman tak kuat.

“Sama ada PAS menang atau mati mereka jadikan PAS rumah tumpangan buat sementara waktu,” katanya lagi.

Abdul Hadi sebelum itu berkata, walaupun PAS beralah di Sabah, parti Islam itu dijangka mendominasi pengagihan kerusi bagi Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Mengulas perkara itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin juga berkata, beliau berbangga apabila perwakilan Muktamar PAS dilihat matang apabila membangkitkan isu itu dalam perbahasan mereka.

Katanya, ia membuktikan budaya wala kepada pemimpin yang ditanam dalam ahli PAS membuahkan hasil.

“Saya jangka itu akan jadi perkara panas, tapi jangkaan saya meleset. Saya berdepan suara yang mengulas mengenai wala kepada kepimpinan.

“Ini bukan satu perkara yang boleh kita tanam sekarang dan dapat hasil sekarang, nak semai wala ambil masa dan hari ini kita rasa buahnya oleh usaha lama pimpinan terdahulu,” kata Hashim.

Hashim berkata, konsep wala menyelamatkan keadaan walaupun kelihatan perwakilan dari setiap sayap tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Kelihatan perwakilan Pemuda, Muslimat, dan perwakilan yang bercakap tentang wala walaupun hati tak begitu puas kerana tak dapat satu kerusi pun.

“(Walaupun) yang Amanah tak pasal dapat satu kerusi, (budaya) wala yang kita semai selamatkan keadaan, inilah hasil yang cukup kita bangga,” kata Hashim lagi. – 13 September, 2020.


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen