Untung rugi PAS masuk kerajaan perpaduan


Fakhrurrazi Rashid

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dalam temubual bersama majalah TIME, tidak menolak kemasukan PAS menjadi sebahagian kerajaan perpaduan. Anwar juga turut menggariskan beberapa sempadan kepada PAS tentang kepentingan untuk mengangkat semangat majmuk dan toleransi jika ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan.  

Sebelum ini, Lim Kit Siang pernah melontarkan cadangan yang sama untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan demi memenuhi titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membentuk kerajaan perpaduan yang diwakili pelbagai parti politik. Namun, idea ini mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.  

Ahli Parlimen Kuala Kangsar daripada Bersatu – Perikatan Nasional (PN) Iskandar Dzulkarnain pada 12 Oktober lalu menyatakan pendirian menyokong perdana menteri dalam menyelesaikan kemelut negara. Tetapi, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin pula menyatakan pendirian Iskandar atas tekanan politik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Disebalik kenyataan Iskandar dan Anwar Ibrahim itu, bukankah ini telah membuka sedikit pintu atau ruang untuk PAS dan kerajaan perpaduan mentadbir negara secara bersama?

PAS adalah sebuah parti berpengalaman dalam membentuk gabungan kerajaan di peringkat pusat. Sekiranya PAS menyertai kerajaan perpaduan, ia seperti mengulangi sejarah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 1974 apabila bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah menjemput PAS mentadbir negara bersama BN atas semangat perpaduan.

Tahun 2024 pula adalah ulangtahun ke-50 pembentukan BN dan ia seperti sirih pulang ke gagang jika PAS menyertai kerajaan perpaduan dan mentadbir bersama BN buat julung kalinya.  Ia juga satu impian perjuangan Reformasi untuk menubuhkan kerajaan pusat bersama PAS sejak tahun 1998.

Cadangan penyertaan PAS dalam kerajaan perpaduan harus dilihat dalam pertimbangan yang lebih rasional. Kebanyakan penyokong kerajaan perpaduan mahupun PN didominasi emosi dalam melihat perkara ini. Persoalannya, apa untung rugi penyertaan PAS dalam kerajaan perpaduan?

Pertama, PAS akan memperkukuh makna sebenar konsep kerajaan perpaduan. Penyertaan PAS akan melengkapkan lagi titah YDPA untuk pemimpin politik di Malaysia membentuk sebuah kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi memastikan pentadbiran negara didokong semua pihak melangkaui fahaman politik. Ia sekali gus boleh mengurangkan sentimen politik pecah belah yang kian membimbangkan.

Kedua, ia mampu meningkatkan perancangan strategik ekonomi negara di wilayah utara dan pantai timur Malaysia. PAS boleh mewakili suara orang Melayu yang terbesar di kedua-dua wilayah dalam kerajaan untuk membentuk perancangan dan dasar yang lebih menguntungkan rakyat dalam aspek ekonomi mahupun sosial.

Perkara ini lebih strategik berbanding penubuhan “State Government 4” yang didukung empat Menteri Besar PAS bersama Dr Mahathir Mohamad yang merencana pembangunan negeri di luar kerangka federalisme.

Kestabilan lima tahun terjamin

Ketiga, kestabilan politik kerajaan perpaduan akan bertambah kukuh. Jumlah kerusi PAS yang terbesar di blok pembangkang dan Dewan Rakyat sendiri akan memudahkan lagi gerak kerja kerajaan perpaduan melulus dan meminda undang-undang, khususnya di Parlimen. PAS juga akan menjadi tunjang yang kukuh sekiranya parti dalam kerajaan perpaduan, sama ada Umno-BN atau GPS ingin menarik sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Kestabilan politik ini juga bermaksud penyertaan PAS akan mengendurkan lagi politik sentimen kaum dan agama di Malaysia. Perkara ini dapat dibuktikan apabila PAS lebih berdisiplin dan tidak memainkan isu sensitif sewaktu menjadi kerajaan 33 bulan di bawah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.  

PAS juga boleh menjadi pendamai dan jurucakap kepada orang Melayu-Islam tentang isu dan dasar kerajaan yang dilihat gagal diterjemahkan oleh PKR, Amanah, dan Umno dalam kerajaan perpaduan.

Soal parti mana yang perlu ditendang keluar daripada kerajaan perpaduan sekiranya PAS menyertainya adalah satu perkara yang tidak realisitik. Apa yang perlu dilakukan Anwar Ibrahim hanyalah memperbesarkan saiz kabinetnya untuk melantik ahli parlimen PAS sebagai menteri atau timbalan menteri. Ini selari dengan konsep kerajaan perpaduan yang terbuka menerima kehadiran ahli baru dalam pentadbiran.  

Jika kita lihat semula kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri, PAS terbuka untuk menerima apa sahaja portfolio menteri yang diberikan, iaitu antara tiga hingga empat menteri kabinet penuh dan beberapa timbalan menteri. Mungkin, jika Anwar Ibrahim memberi beberapa portfolio menteri kepada PAS, prestasi kerajaan akan bertambah baik dan mampu menarik sokongan rakyat, khasnya dalam aspek agama Islam.  

Menghakis sentimen jahat

Penyertaan PAS juga dapat mengatasi sentimen DAP dalam kalangan masyarakat Melayu.  PAS merupakan parti terawal bekerjasama dengan DAP dalam arena politik Malaysia. DAP diterima secara terbuka oleh golongan Melayu, khasnya anak muda, ketika mereka bersama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008. PAS pula, dengan moto “PAS for all” ketika itu, turut mendapat sokongan bukan Melayu dengan kerjasama DAP.

Kedua-dua parti pernah mentadbir bersama di Pulau Pinang dan Selangor, menyaksikan negeri-negeri ini masih berdaya saing sehingga hari ini. Bukankah ini satu peluang yang baik untuk diterjemahkan di peringkat kerajaan persekutuan hari ini?

Nampaknya, perbincangan ini lebih melihat keuntungan kepada PAS dan kerajaan perpaduan jika mereka mentadbir bersama. Terpulang kepada PAS untuk terus tegak di blok pembangkang kerana yakin kerajaan perpaduan tidak bertahan dalam dan mampu merampas Putrajaya pada PRU16.

PAS mungkin rugi sedikit kerana terpaksa berhadapan dengan kritikan besar rakyat ke atas kerajaan perpaduan yang dilihat masih lembab dalam menguruskan beberapa hal, khususnya dalam isu kos sara hidup dan ekonomi. Tetapi, mengetahui kekuatan PAS, ia boleh mengeluarkan fatwa dan hukum yang boleh membuatkan perkara yang mustahil menjadi tidak mustahil.  

Dinamik politik Malaysia sudah berada di tahap baharu. Dalam usaha mengekalkan kestabilan politik untuk lima tahun, peranan PAS dan kerajaan perpaduan mungkin boleh menjadi ramuan bagi mengatasi persepsi kaum dan agama yang boleh menggugat keharmonian Malaysia.  

Jika tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan, PAS dan kerajaan perpaduan sekurang-kurangnya boleh melakukan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) demi memastikan polemik diredaan dan semua pemimpin fokus membina kemakmuran negara pada tempoh lima tahun akan datang. Usahlah berpaut dengan Bersatu dan Muda di blok pembangkang yang tidak ada hala tuju dan hanya mahu PAS melakukan semua kerja mereka. – 15 Oktober, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen