Selepas 25 tahun, Reformasi masih terbengkalai?


Mohd Azizi Jaeh

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan bahawa takkan lupa janji Reformasi baru-baru ini di New York dan Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2023.

SEPTEMBER merupakan ulang tahun peringatan bagi gerakan Reformasi. Kini kedengaran kritikan bertalu-talu yang menyatakan “Reformasi telah mati” (pekikan Re-for-ma-ti).

Bagi golongan yang antipembaharuan, slogan Reformasi pastinya tidak membawa sebarang makna malah dipandang jelek.

Pembaharuan yang dijanjikan Anwar Ibrahim menempuh ranjau berliku, apatah lagi untuk dirumuskan.

Reformasi kini dianggap projek pembinaan yang belum siap, sering tergendala dan terpaksa ditunda.

Pada asasnya Reformasi merupakan tindakan perubahan secara bertahap bagi membetulkan kepincangan sedia ada agar sistem itu menjadi lebih baik.

Ini merupakan matlamat yang diinginkan reformis biarpun masih belum menepati aspirasi penggiatnya.

Peralihan dan perubahan politik telah pun berlaku pada PRU14 dan PRU15. Namun hanya kulit yang berubah, isi kandungannya masih serupa.

Pengamalan dasar, praktik institusi dan bentuk pembangunan dikatakan masih belum menampakkan perubahan ketara.

Ini juga menandakan Refornasi belum mencapai kemenangan biarpun Anwar telah genap 10 bulan di menara kuasa (bermula 24 November, 2022).

Tanyalah kepada aktivis dan pendukungnya, apakah mereka berpuas hati dengan perkembangan Reformasi? Pastinya tidak! Malah, golongan pengkritik secara sinis menyatakan Reformasi adalah “projek sakit”.

Banyak lagi pendekatan perlu dilakukan untuk menyiapkan projek Reformasi yang lama tersadai.

Namun apa saja kritikan kita berhubung Reformasi, kita patut menilai kebertahanannya sehingga ke hari ini.

Kebanyakan orang menduga pergerakan ini akan lumpuh. Penulis teringat kenyataan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew ketika awal tercetusnya Reformasi yang meramalkan isu ini akan habis dalam masa singkat kerana pemerintah memiliki kekuatan dan kawalan untuk menundukkan penentangan tersebut. Ramalan Lee ternyata sekali meleset.

Oleh itu pemahaman tentang perjalanan Reformasi selepas 25 tahun memerlukan pengetahuan bukan setakat dari sudut isi, konteks dan perubahan sifatnya, bahkan dampak dan aktor yang terlibat – tidak terbatas skopnya kepada kumpulan Reformasi 98 sahaja.

Reformasi bukan milik mutlak dan lencana yang dipakai Anwar semata-mata.

Begitupun dampak dari perjuangan Reformasi itulah yang menaikkan sedikit kedudukan demokrasi Malaysia walaupun masih belum mencapai piawai “demokrasi penuh.”  

Kita tidak boleh menafikan fakta sejarah. Tuntutan dari kem Reformasi 98 telah membuatkan kerajaan akur untuk mewujudkan Akta Perhimpunan Aman yang tidak lagi membataskan penyuaraan rakyat untuk berdemonstrasi (baca: demonstrasi menjadi budaya normal).

Keterbukaan yang berlaku berpunca daripada keghairahan kumpulan prodemokrasi yang tidak berhenti memenangi pendapat awam.

Namun Reformasi tidak wajar berselindung di balik kata demonstrasi bagi menunjukkan mereka sahaja “orang perjuangan” yang membawa pembaharuan.

Lebih menarik, kumpulan asal Reformasi 98 berpecah dan memasuki parti pembangkang.

Semua ini tumbuh dan membenih berikutan kegawatan politik.  

Namun peranan mereka tidak wajar dipadamkan dalam lipatan sejarah walaupun sesetengahnya dianggap pengkhianat kepada perjuangan Reformasi.

Sebetulnya perubahan penting yang terhasil dari tuntutan Reformasi ialah kebebasan dan keterbukaan media, penggunaan dakwat kekal, pendaftaran pengundi secara automatik dan undi 18 (pindaan perlembagaan) adalah moment penting yang terakam di sepanjang 25 tahun ini.

Namun tidak cukup menyatakan yang agenda Reformasi sudah selesai. Ia perjuangan berterusan dan tidak hanya terhala kepada Anwar.

Perjalanan gerakan Reformasi adalah perjalanan tanpa noktah, sekalipun sering ditandai dengan tanda koma.

Lebih-lebih lagi, semua golongan berperanan memajukan lagi pembaharuan politik.

Kita juga harus adil dan jujur kebanyakan perubahan besar yang tercetus sepanjang tempoh 25 tahun ini bukanlah ketika Anwar menjadi perdana menteri. Kita mungkin terlepas pandang.

Misalnya pengukuhan badan pencegah rasuah (baca: SPRM) berlaku ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, pemansuhan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) semasa pemerintahan Najib Razak dan pengenalan Akta Anti Lompat Parti ketika era pentadbiran Ismail Sabri.

Meskipun ini disifatkan tekanan kuat daripada pembangkang (masa itu), namun momen besar tersebut membayangkan Malaysia tanpa mengira kumpulan kerajaan ataupun pembangkang (masa itu) berkongsi impian bersama melakukan reformasi.

Sebenarnya reformasi dimulakan oleh pemimpin terdahulu lagi – misalnya Abdullah, Najib dan Ismail Sabri.

Cuma harus ditegaskan pemimpin tersebut tidak pernah menjanjikan perubahan seperti yang sering ditekankan Anwar.

Pemimpin terdahulu tidak bertutur dengan slogan yang muluk, apatah lagi kerap memetik kata-kata besar tokoh reformis.

Persoalan sekarang sejauh manakah Anwar dapat mengatasi kekurangan dan kelompongan Reformasi yang diimaginasikannya selama ini.

Masih belum jelas mengenai Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang semuanya ini pernah ditentang hebat suatu ketika dahulu oleh pendukung Reformasi.

Semua undang-undang ini didesak untuk dihapus atau digantikan demi menjanjikan sebuah kebebasan.

Mungkin kita tidak akan mempunyai sebarang peluang untuk mendesak Anwar menyempurnakan perubahan sekiranya beliau mahu terus kekal sebagai kerajaan dan gelaran Bapa Reformasi.

Jika tidak ditangani sebaiknya, impian masyarakat untuk benar-benar bebas menurut ungkapan Karl Marx tampaknya telah berubah menjadi “khayalan kosong”.

Salah satu faktor Reformasi yang dijanjikan selama ini tampak terlalu perlahan kerana kerajaan pimpinan Anwar kurang mendapat sokongan orang Melayu.

Pengundi Melayu merupakan teras politik Malaysia dalam menentukan darjah kestabilan sesebuah pemerintahan.

Di samping itu perjalanan Reformasi yang dilihat memakan masa lebih dua dekad mengakibatkannya hilang daya tarikan, semakin pudar, bahkan dianggap menjadi pinggiran lantaran ketidakpedulian generasi baharu terhadap perubahan yang dikehendaki.

Oleh sebab itu Anwar berada di persimpangan politik sama ada untuk menterjemahkan hasratnya sekarang atau menangguhkan seketika impiannya.

Apatah lagi, beliau terpaksa berulang kali menegaskan bahawa takkan lupa janji Reformasi baru-baru ini di New York dan Singapura.

Sungguhpun berkuasa, banyak pihak perlu dijaga kepentingannya terutamanya parti-parti yang bergabung membentuk blok kerajaan perpaduan.

Apa pun pelaksanaan yang mungkin atau bakal dilaksanakan mesti dilakukan secara bijaksana, teratur dan berhati-hati. Ibarat menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus.

Mungkin Anwar juga takkan melupakan kata-kata penyair terkemuka Indonesia yang diminatinya  WS Rendra  iaitu “perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.”

Sekiranya Anwar tidak mengambil berat akan semua perkara ini, Reformasi yang masih dalam pembikinan ini bukan hanya berisiko gagal disiapkan malah boleh roboh pembinaannya. – 26 September, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen