Wajar Muda keluar gabungan kerajaan


LANGKAH Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membawa parti tersebut keluar daripada kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) adalah satu tindakan yang amat wajar. 

Sudah tentu, langkah ini memberikan impak negatif yang amat besar kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kerana gabungan PH-Barisan Nasional (BN) yang sedang berada di tampuk pemerintahan negara telah hilang 2/3 majoriti di Parlimen. 

Meneliti laporan akhbar mengenai sebab mengapa Muda bertindak untuk keluar dari PH, saya merasakan mereka mempunyai alasan yang amat kukuh. 

Pelepasan tuduhan jenayah terhadap beberapa tokoh politik yang berkaitan dengan PH baru-baru ini sememangnya mengundang rasa sebal dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. 

Laungan “reformasi” yang pada suatu ketika dahulu menjadi satu seruan keramat bagi membangkitkan semangat rakyat untuk menentang kezaliman nampaknya hanya retorik kosong semata-semata. 

Apa yang dilakukan oleh Muda pada ketika ini wajar diberikan pujian kerana mereka menghentikan sokongan kepada kerajaan PH-BN atas dasar prinsip dan bukannya bertindak bagi kepentingan individu atau sesuatu kumpulan sahaja. 

Mereka boleh sahaja duduk selesa di dalam barisan pemimpin kerajaan dengan berdiam diri, namun telah memilih untuk bangkit dan lawan demi memperjuangkan masa hadapan seluruh rakyat Malaysia. 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Syed Saddiq dan Muda atas keberanian mereka dalam mempertahankan prinsip dan integriti. – 11 September, 2023.

* Zuraida Kamaruddin, timbalan presiden Muafakat Nasional. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen