Kerajaan guna undang-undang tekan pembangkang, kata Muhyiddin


Ketika dibacakan pertuduhan, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2023.

PUTRAJAYA menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan pembangkang, kata Muhyiddin Yassin selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di bawah Akta Hasutan, semalam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan kerajaan perpaduan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu melahirkan rasa simpati ke atas apa yang berlaku terhadap Muhammad Sanusi.

“Nampaknya kerajaan hari ini semakin galak menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan lawan politik mereka.

“Ini sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh mereka dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan. Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau menegaskan dasar dan prinsip perjuangan PN adalah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan serta kemuliaan institusi Raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

“Prinsip ini akan terus dipertahankan,” ikrarnya dalam kenyataan tersebut.

Semalam, Muhammad Sanusi didakwa atas dua tuduhan hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa membuat kenyataan menghasut berhubung pelantikan menteri besar Selangor.

Di mahkamah berasingan Muhammad Sanusi, 48 didakwa membuat kenyataan berkait titah Yang Di-pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan pada satu ceramah yang sama di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Ketika dibacakan pertuduhan, ADUN Jeneri itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. – 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen