Pemimpin Pakatan mahu Anwar fokus pembaharuan, rombak Kabinet 


Ravin Palanisamy

Anwar Ibrahim harus mula beri tumpuan kepada pembaharuan seperti yang PH janjikan sebelum jadi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos 2023.

SUDAH tiba masanya untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih serius jika beliau mahu kekal dalam kuasa persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang, kata seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin yang enggan namanya didedahkan itu berkata, Anwar harus mula memberi tumpuan kepada pembaharuan seperti yang dijanjikan gabungan PH sebelum menjadi kerajaan daripada menumpukan perhatian untuk mengambil alih Perikatan Nasional (PN).

“Ada dua penyelesaian. Anwar boleh bermain permainan pelampau dan fokus untuk mendapatkan undi Melayu atau fokus kepada reformasi.

“Sebaliknya, Anwar hanya perlu fokus kepada reformasi yang diperjuangkan parti (PKR) dan gabungan selama 25 tahun lalu dan lihat bagaimana keadaannya,” kata pemimpin itu.

Sumber itu berkata, semasa tempoh reformasi yang bermula dengan pemecatan dan pemenjaraan Anwar pada akhir 1990-an, orang Melayu kelas pertengahan yang merupakan penyokong tegar Umno telah meninggalkan parti nasionalis Melayu itu untuk perubahan.

Beliau berkata sebarang tindakan atau langkah yang salah akan menyebabkan orang ramai beralih taat setia kepada PN, merujuk kegagalan kerajaan sedia ada.

“Apabila saya katakan pembaharuan, ia adalah pembaharuan Parlimen, pembaharuan negara, pembaharuan ekonomi, reformasi sistem pendidikan, tangani rasuah, kawal harga, jaga kesihatan, cipta pekerjaan dan jalankan tugas hingga selesai.

“Sekiranya tumpuan diberikan kepada itu (pembaharuan), orang ramai juga akan mula mengubah (fikiran mereka) kerana mereka dapat melihat bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menguruskan negara,” kata sumber itu.

Sumber itu, yang merupakan seorang ahli politik kanan berkata, apabila pembaharuan dibuat, ia akan membina keyakinan pelabur serta meningkatkan kepercayaan sesama rakyat Malaysia.

“Mula mentadbir dan perkenalkan semua pembaharuan yang dijanjikan dan saya pasti masyarakat Melayu pun akan berkata ‘inilah orang yang kita nak sokong.’

“Itu akan menjadi sebagai satu contoh yang cemerlang, dan sebab mengapa negeri yang dipimpin oleh PAS/PN juga perlu berubah,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata bahawa Anwar mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi mempunyai masa yang sangat sedikit.

“Anwar diberi kuasa untuk mentadbir, maka lakukanlah. Dia hanya tinggal tiga tahun lagi. Selepas tahun ketiga orang sudah membuat keputusan. Jadi, Anwar perlu kembali kepada kekuatan terasnya, iaitu pembaharuan.

“Dia perlu meneruskan pertemuannya dengan pelajar universiti. Itu perlu diteruskan. Malah, dia perlu bertemu lebih ramai orang, bertemu pekerja, petani dan bercakap dengan mereka untuk menangani isu mereka. Jalankan agenda,” kata sumber itu.– 25 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen