Mana reformasi yang Anwar janjikan, soal penulis Benz Ali


Alfian Z.M. Tahir

Penulis Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali, yang juga pemilik Toko Buku Rakyat, kecewa KDN merampas buku di kedainya itu minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Ogos 2023.

PENULIS Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas bukunya Jumaat lepas sebagai satu penindasan oleh pemerintahan kuku besi.

Beliau seterusnya mempersoalkan pembaharuan yang dijanjikan kerajaan perpaduan, lebih-lebih lagi apabila ia dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sering merujuk dirinya sebagai seorang reformis.

Kata penulis beberapa buku termasuk buku puisi itu, sehingga kini masih belum nampak reformasi yang pernah dilaungkan Anwar. Presiden PKR itu tambahnya bukanlah seorang reformis seperti yang didakwa.

“Selama sembilan bulan ini adakah kita lihat sebarang pembaharuan? Merampas buku bukan tindakan reformasi, tapi zalim.

“Saya tidak terkejut kalau ini berlaku semasa zaman Dr Mahathir Mohamad sebab semua orang tahu beliau pemimpin kuku besi,” kata Benz Ali kepada The Malaysian Insight.

“Bukanlah mengejutkan juga jika bawah kerajaan Ismail Sabri Yaakob atau Muhyiddin Yassin, tetapi buku-buku ini dirampas semasa kerajaan Anwar, tanpa alasan yang jelas. Dan ini sangat mengejutkan.

“Bila setiap kali berucap, Anwar sebut reformasi, jadi apa jenis pembaharuan yang ada sekarang ini?” soal beliau.

Kedai buku milik Benz Ali, Toko Buku Rakyat, yang terletak di Wisma Central, Kuala Lumpur didatangi empat pegawai KDN pada Jumaat lalu, dan merampas buku bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi Puisi Masturbasi” yang ditulis Benz Ali sendiri.

Dua buku berkenaan tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual. Malaysiakini melaporkan KDN merampas masing-masing satu naskah daripada dua tajuk buku itu.

“Sebab (rampasan) yang diberikan adalah dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” kata Benz Ali dipetik portal itu.

Di platform media sosial Goodreads, “Marx Sang Pendidik Revolusioner” diulas sebagai buku yang menceritakan tentang ahli falsafah kelahiran Jerman Karl Marx, seorang pemikir pendidikan radikal dan pengamatannya mengenai isu pendidikan.

Manakala buku “Koleksi Puisi Masturbasi” tulisan Benz Ali bukanlah merujuk kepada perbuatan fizikal seks, tetapi koleksi puisi sejak 2011 yang menyentuh tema kemiskinan, kemunafikan dan pembaziran, menurut ulasan Goodreads.

Benz Ali, 35, seterusnya bertanya adakah Anwar sekarang ini cuba memperlihatkan kepada rakyat bahawa perdana menteri itu antikomunis, bukan seperti yang digambarkan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Kita tahu naratif yang PN mainkan, dan kita boleh katakan naratif ini berbahaya. Kerajaan rampas buku juga berbahaya.

“Kalau hendak lawan naratif ini, inikah caranya?

“Adakah Anwar cuba bersikap konservatif seperti PN? Adakah beliau hendak tunjuk kepada orang Melayu yang beliau antikomunis dengan menyerbu kedai yang menjual buku-buku progresif?” soal beliau. – 23 Ogos 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen