Tarik balik gelaran Tun jika Mahathir terus serang institusi diraja, kata ahli Parlimen


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa agar kerajaan menarik balik gelaran Tun daripada Dr Mahathir Mohamad sekiranya beliau terus menyerang institusi diraja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

DR Mahathir Mohamad harus dilucutkan gelaran “Tun” jika beliau terus mengkritik dan menyerang institusi diraja, kata RSN Rayer.

Ahli Parlimen DAP Jelutong itu memberitahu Parlimen Dr Mahathir dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin mahu memusnahkan negara semasa melaksanakan Proklamasi Melayu.

“Kita lihat beliau melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin).

“Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat.

“Jika Mahathir meneruskan serangannya terhadap institusi diraja, kerajaan harus mempertimbangkan untuk membatalkan gelaran ‘Tun’ beliau,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Rayer merujuk kepada kenyataan polis bahawa mereka sedang menyiasat Dr Mahathir kerana didakwa menghina institusi diraja semasa pelancaran Proklamasi Melayu.

Rayer meminta polis tidak berkompromi jika Mahathir terus “menyerang” institusi diraja.

Minggu lalu, polis mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat bekas ahli Parlimen Langkawi itu berhubung gerakan Proklamasi Melayu.

Bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana “melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Proklamasi Melayu adalah inisiatif terbaru bekas perdana menteri untuk “menyatukan masyarakat Melayu”.

Ia menyenaraikan 12 masalah utama yang ditegaskannya sedang dihadapi oleh orang Melayu dan berusaha untuk menyatukan masyarakat merentasi jurang politik.

Bulan lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti Islam itu menandatangani dokumen untuk menandakan sokongan mereka terhadap seruan Mahathir agar orang Melayu bersatu.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Razali Idris, dan Ahli Majlis Tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid turut menandatangani dokumen itu atas kapasiti peribadi mereka. – 6 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen