Dewan Rakyat kecoh, Rayer mahu Hadi disiasat


RSN Rayer memohon agar kenyataan presiden PAS diberi perhatian kerana rakyat tidak boleh merana sekiranya berlaku sesuatu yang dirancang pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

SEORANG ahli Parlimen meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, bahawa terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan oleh Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur hari ini sehingga menimbulkan suasana kecoh selama beberapa minit.

“Perkara ini adalah satu yang menyalahi undang-undang Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 124B iaitu barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun.

“Ini adalah kerajaan tuanku, kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh tuanku,” kata Rayer.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bangun mencelah, mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(6) yang menyatakan seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.

“Tadi YB (Yang Berhormat) Jelutong menyebut YB Marang (Hadi) sedang merancang, ini satu sangkaan jahat, YB Marang hanya mengeluarkan satu kenyataan politik dia tak merancang pun,” katanya yang turut meminta Rayer untuk menarik semula kenyataan terhadap Hadi.

Rayer kemudiannya berkata kenyataan itu dilaporkan media selepas Hadi ditemu bual di Parlimen semalam.

“Timbalan speaker, bayangkan sekiranya perkara ini dinyatakan ahli Parlimen DAP, kalau kita (DAP) di pihak pembangkang dan menyatakan perkara ini, sudah tentu laporan polis akan dibuat kepada kita. Ini adalah perlakuan menderhaka kepada titah Agong,” katanya.

Maklum balas Rayer itu bagaimanapun menimbulkan lagi kemarahan beberapa ahli Parlimen dari blok pembangkang, sebelum Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau Kiong mengarahkan mereka duduk dan meminta Rayer menggulung sesi perbahasannya.

Rayer ketika menggulung sesi perbahasannya, memohon agar kenyataan Hadi itu diberi perhatian kerana rakyat tidak boleh merana sekiranya berlaku sesuatu yang dirancang pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

“Saya mohon Marang supaya tidak derhaka,” kata Rayer mengakhiri sesi perbahasannya.

Bagaimanapun selepas penggulungan Rayer, beberapa ahli Parlimen dari blok pembangkang seperti Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) masih tidak berpuas hati, sehingga melengahkan sesi perbahasan itu.

Che Mohamad Zulkifly mengemukakan Peraturan Mesyuarat 23(i) yang menyatakan sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidak dalam penerangan dalam surat khabar atau penerangan dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan kepada badan kewangan.

Lau bagaimanapun menegaskan beliau membuat “ruling” yang Rayer meneruskan untuk menggulung sesi perbahasannya.

“Sekiranya, tidak berpuas hati dengan keputusan saya, sila buat usul,” kata Lau yang meminta perbahasan diteruskan. – Bernama, 7 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen