Golongan pendapatan rendah perlu diberi ilmu kewangan, kata syarikat pinjaman


K. Kabilan

RAKYAT Malaysia daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana terjejas teruk dengan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang sukar.

Kadar inflasi Malaysia berada pada 1.8% menyebabkan, kehidupan seharian kumpulan ini menjadi semakin mencabar. Sebagai maklumat tambahan, kadar inflasi pada November lalu adalah 1.5%.

Keadaan ini akan menjejaskan tingkah laku peminjaman kerana individu dan perniagaan mungkin akan mendapatkan lebih banyak kredit jangka pendek untuk menguruskan kos yang semakin meningkat dan berdepan perbelanjaan kecemasan luar jangka, kata Hui Yik Seong, bekas pengarah di Barclays Investment Bank.

Beliau menggesa agar institusi pemberi pinjaman menggunakan strategi untuk membantu mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sesetengah individu dan perniagaan mungkin mengalami penurunan dalam pendapatan benar berikutan kesan inflasi ke atas kos barangan dan perkhidmatan yang penting untuk operasi mereka.

“Ini bagaimanapun boleh membawa kepada penurunan kepercayaan kredit kerana kos sara hidup dan operasi yang lebih tinggi boleh mengakibatkan pendapatan boleh guna bersih lebih rendah, menjadikannya lebih mencabar untuk memenuhi komitmen kewangan, sekali gus meningkatkan risiko kredit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau seterusnya berkata apabila inflasi meningkat, bank pusat sering bertindak balas dengan meningkatkan kadar faedah untuk mengawal kepanasan ekonomi yang melampau.

“Pelarasan ini boleh membawa kepada pembayaran balik bulanan yang lebih tinggi untuk pinjaman yang terikat dengan kadar faedah berubah-ubah, seterusnya membebankan kapasiti kewangan peminjam,” kata Hui yang mempunyai 15 tahun pengalaman pasaran modal, kewangan dan perakaunan.

Beliau berkata sesetengah individu dan PKS juga mungkin menyaksikan penurunan kepercayaan kredit kerana kos sara hidup dan operasi yang lebih tinggi akan menyebabkan pendapatan boleh guna bersih yang lebih rendah.

Hui berkata untuk membantu individu dan perniagaan yang memerlukan, institusi pemberi pinjaman boleh menyemak semula rangka kerja penilaian kredit mereka untuk mengambil kira kesan ekonomi inflasi terhadap kestabilan kewangan pemohon.

“Peminjam juga boleh membangunkan produk yang mencerminkan realiti ekonomi semasa,” kata Hui, yang juga pengasas Direct Lending, platform pinjaman peribadi dalam talian.

Beliau memberi contoh agensinya yang menawarkan pembiayaan perkhidmatan auto, yang membolehkan pemilik kereta menguruskan kos pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan yang diperlukan melalui ansuran bulanan mampu milik sehingga 12 bulan.

“Produk jenis ini amat membantu semasa inflasi, kerana ia menyediakan penyelesaian kewangan yang boleh diurus tanpa memerlukan perbelanjaan tunai yang besar dan segera,” katanya.

Kadar inflasi Malaysia berada pada 1.8% menyebabkan, kehidupan seharian kumpulan berpendatan rendah  menjadi semakin mencabar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2024.

Beliau juga berkata institusi pemberi pinjaman mesti menyediakan pilihan untuk penangguhan pinjaman, pembayaran faedah sahaja untuk sesuatu tempoh atau penstrukturan semula pinjaman bagi membantu peminjam.

“Institusi pemberi pinjaman boleh memainkan peranan dalam menyediakan bantuan kewangan semasa keadaan ekonomi tidak menentu.

“Kita juga mesti meningkatkan usaha dalam pendidikan kewangan dan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab untuk memastikan peminjam memahami komitmen mereka dan mengurangkan kemungkinan mereka terlalu membebani diri dari segi kewangan,” tambahnya.

Fokus pada bajet

Hui juga berkata keadaan ekonomi semasa juga menyaksikan individu dan keluarga terpaksa mengawal ketat bajet mereka dengan mengutamakan perbelanjaan penting berbanding yang kurang penting.

Beliau berkata mereka beralih kepada alternatif lebih murah, menangguhkan pembelian besar atau mengurangan barangan mewah.

“Terdapat juga peningkatan fokus kepada instrumen bajet dan perancangan kewangan untuk mengurus sumber terhad dengan lebih baik.

“Kumpulan ini selalunya kurang perlindungan kewangan dan akses terhad kepada kredit, menjadikannya sukar untuk menyerap peningkatan kos sara hidup.

“Harga yang meningkat bermakna pendapatan mereka yang sudah berkurangan perlu menampung lebih banyak, sering memaksa mereka membuat pilihan sukar antara keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata institusi pemberi pinjaman boleh memainkan peranan dalam menyediakan bantuan kewangan semasa keadaan ekonomi tidak menentu.

“Dengan menawarkan pinjaman cepat dan mudah diakses dengan syarat telus, kami boleh membantu individu dan perniagaan menguruskan cabaran aliran tunai,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan melaksanakan strategi yang betul, institusi pemberi pinjaman boleh membantu pelanggan mereka mengharungi tempoh ekonomi yang mencabar.

“Kami boleh membantu mereka dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan memupuk kesetiaan pelanggan jangka panjang.

Ikat perut

Bagi M Jagan, 62, pendapatannya sebagai pemandu Grab semakin tidak mencukupi untuk perbelanjaan isi rumahnya.

“Belanja pasar mingguan kini menjadi masalah besar kerana saya terpaksa berbelanja lebih setiap kali pergi. Kami perlu berkompromi dengan perjalanan mingguan ini, sama seperti kami mengurangkan belanja runcit bulanan.

“Dan apabila membeli, kami akan membeli barangan yang lebih sedikit, atau produk yang lebih murah,” kata bapa kepada lima anak itu.

Mujurlah anak-anaknya semuanya sudah mampu berdikari dan beliau hanya perlu menyara isterinya sahaja.

“Isu paling besar ialah kos membaiki kereta saya. Hampir setiap bulan saya terpaksa mengeluarkan duit untuk memastikan kereta boleh bergerak. 

“Dan sekarang, terdapat perbincangan mengenai subsidi bahan api dihapuskan. Saya hanya berharap apa sahaja rancangan kerajaan untuk membantu golongan miskin, saya akan menikmatinya juga,” katanya.

Beliau menambah ramai rakan pemandunya berada dalam situasi yang sama, semuanya bergelut untuk menyara keluarga.

Menurutnya, ada mengalami kesukaran membayar balik pinjaman bulanan mereka kepada institusi pemberi pinjaman. – 6 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen