Kenyataan Sanusi berbahaya, kata DAP


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bersama Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town, Pulau Pinang hari ini. – Gambar Facebook, 1 Jun 2023.

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana mendakwa Pulau Pinang masih milik Kedah. 

Bercakap kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, George Town pagi tadi, Rayer berkata tindakan segera perlu diambil terhadap Sanusi kerana sering membuat ucapan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Sebagai menteri besar beliau harus bersikap bertanggungjawab dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pakar perundangan, bukannya menghentam secara semberono.

“Dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang, juga mengganggu gugat ketenteraman awam serta membangkitkan perasaan marah rakyat Pulau Pinang.

“Saya membuat laporan polis bukan sahaja kerana hendak mempertahankan hak dan kepentingan negeri dan rakyat Pulau Pinang, tetapi lebih daripada itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa  Yang di-Pertuan Agong,” katanya, menambah sudah tiba tindakan tegas diambil terhadap Sanusi kerana ini bukan kali pertama mencetus kekecohan.

Rayer juga berkata tindakan Sanusi yang berulang kali mengatakan Pulau Pinang milik Kedah boleh ditasirkan sebagai satu hasutan yang boleh menyebabkan huru-hara dan rusuhan.

Beliau membuat laporan polis bagi menyambut saranan Lim Guan Eng semalam, yang menggesa penduduk Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Sanusi. Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang turut hadir bersama Rayer pada sidang media pagi tadi. 

Dalam kenyataannya semalam, Lim berkata kenyataan Sanusi boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan hak untuk wujud sebagai negeri.

“Laporan polis harus dibuat oleh 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk mendesak tindakan terhadap Sanusi bagi melindungi Pulau Pinang dan menghalang ‘penceroboh politik’ daripada menceroboh negeri kita, demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan aman dan menikmati kemakmuran,” katanya.

Dakwaan Sanusi bahawa Pulau Pinang masih hak Kedah turut dibidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sebagai seorang menteri besar, Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.

“Kadang-kadang bila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.

“Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.

“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain tetapi sebagai seorang menteri besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan,” katanya seperti dipetik Bernama semalam. – 1 Jun 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen