Najib masih terima elaun ahli Parlimen lagikah, soal Rayer


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer juga bertanya jika Najib Razak yang kini dipenjarakan diberi kelebihan dapatkan rawatan di hospital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022.

AHLI Parlimen Jelutong hari ini membangkitkan persoalan adakah bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun masih menerima elaun sebagai wakil rakyat.

Soalan itu diajukan RSN Rayer dari DAP kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon pada sesi soal jawab menteri hari ini. 

“Pada Isnin speaker buat pengumuman bahawa Yang Berhormat Pekan (Najib) akan dibenarkan untuk hadir sidang Dewan, tetapi tiada sebarang pengumuman berkenaan sama ada beliau masih menerima elaun sebagai wakil rakyat.

“Beliau juga telah dibenarkan untuk mendapat rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC). Adakah ini juga sebahagian daripada kelebihan yang diberi kepada beliau sebagai wakil rakyat?

“Saya bertanya kerana ramai banduan dan pesalah di penjara yang tidak dibenarkan untuk keluar menziarahi ayah dan ibu yang meninggal dunia, itu pun untuk pesalah yang hanya menjalani tahanan reman, belum lagi didapati bersalah,” katanya.

Rashid kemudian berkata beliau tidak dapat menjawab soalan Rayer.

“Perkara yang dibangkitkan tadi saya minta Jelutong menulis kepada pejabat Yang di-Pertua (Azhar Azizan Harun) dan beliau akan menjawab dengan sewajarnya,” katanya.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan kini dipenjarakan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos, bagi menjalani hukuman 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sepanjang menjalani hukuman penjara, Najib menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan HRC atas masalah kesihatan.

Kelmarin, Azhar berkata Najib boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara. – 5 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen