Kenapa Najib dibenar melancong, tak disenarai hitam LHDN, soal ahli Parlimen


Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini diasak bertubi-tubi dengan soalan sama di Dewan Rakyat oleh RSN Rayer yang bertanya kenapa Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak senaraihitamkan Najib Razak dan benarkan bekas perdana menteri itu ke SIngapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

MAHKAMAH yang benarkan Najib Razak mendapat semula pasportnya untuk ke Singapura, kata Tengku Zafrul kepada Dewan Rakyat ketika ditanya mengapa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak senaraihitamkan bekas perdana menteri itu.

“Ia adalah keputusan mahkamah,” kata Menteri Kewangan itu berulang kali ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian menjawab RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya mengapa LHDN tidak menyenaraihitamkan Najib walaupun ahli Parlimen Pekan itu berhutang RM1.69 bilion cukai kepada lembaga itu.

“Mengapa LHDN tidak senaraihitamkan Najib, yang berhutang berjuta-juta, sedangkan yang lain dihalang di imigresen (pusat pemeriksaan) kerana berhutang dengan LHDN?” kata Rayer.

“Kerajaan juga telah senaraihitamkan pelajar yang hanya berhutang beribu-ribu pinjaman pelajaran. Tetapi kenapa Najib diberi layanan istimewa? Adakah beliau ada perjanjian dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob?”

Tengku Zafrul yang tersenyum kepada Rayer pada mulanya enggan menjawab menyebabkan Rayer bertubi-tubi menyoal sehingga Timbalan Speaker Rashid Hasnon (PN-Batu Pahat) masuk campur.

Menyambung Rayer, Chang Lih Kang dari Tanjung Malim sekali lagi mengulangi soalan mengenai Najib sehingga Tengku Zafrul menjawab ia adalah keputusan mahkamah.

“Tetapi saya fikir anda telah salah faham soalan itu,” kata Chang.

“Kami ingin tahu mengapa LHDN tidak senaraihitamkan Najib, bukan sama ada mahkamah telah pulangkan pasportnya,” kata Chang, sambil Tengku Zafrul meneruskan penggulungannya.

Pada 26 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk membenarkan pemulangan pasport Najib.

Mahkamah juga membenarkan bekas perdana menteri, yang disabitkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa tahun lepas, pergi ke Singapura dari 25 Oktober hingga 6 Disember untuk melawat cucunya yang baru dilahirkan.

Mahkamah kemudiannya meminda tarikh perjalanan Najib kepada 21 November hingga 5 Disember, kerana beliau perlu mengepalai pilihan raya negeri Melaka untuk Barisan Nasional. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen