Adakah SPRM akan panggil pemimpin MIC mengenai kes dana Mitra, tanya Rayer


Noel Achariam

RSN Rayer berkata, beliau membangkitkan isu itu kerana Ketua SPRM Azam Baki mengeluarkan kenyataan beberapa individu akan didakwa di mahkamah atas penyalahgunaan dana Mitra. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2022.

SEORANG ahli Parlimen DAP hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sama ada ia akan memanggil pemimpin tertinggi MIC untuk disoal siasat berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer memberitahu Dewan Rakyat, SPRM mesti menjelaskan jika siasatannya terhadap dakwaan penyelewengan dana Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) termasuk pemimpin kanan MIC.

Katanya, beliau membangkitkan isu itu kerana Ketua SPRM Azam Baki mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa individu akan didakwa di mahkamah atas penyalahgunaan dana Mitra.

“Jadi, adakah laporan bahawa pemimpin MIC juga menerima dana Mitra benar atau tidak? Kami juga ingin tahu jika ada pemimpin tertinggi MIC sudah dipanggil untuk memberi kenyataan,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

SPRM menahan 22 orang pada Januari dalam operasi besar-besaran berhubung penyelewengan dana Mitra.

Sumber sebelum ini memaklumkan, berjuta-juta ringgit dihulurkan dalam geran Mitra kepada organisasi yang mempunyai hubungan dengan pemimpin kanan dalam MIC.

Sumber itu berkata, pertubuhan itu memohon dana untuk menganjurkan kursus floristry, kelas tuisyen untuk murid sekolah rendah, sijil kelayakan asas untuk pembantu perubatan dan kursus perkahwinan tetapi tiada yang berjaya.

Setakat ini, ahli perniagaan B Reghu didakwa atas 35 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM625,625 daripada Mitra tahun lalu.

Pengarah Syarikat QCDMS Eraminda Consultants Sdn Bhd itu juga berdepan 23 pertuduhan alternatif menipu dengan menuntut RM100,625.

Mitra adalah sebuah unit di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Ia ditubuhkan oleh pentadbiran Najib Razak untuk membiayai program meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India.

Siasatan mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan kumpulan masyarakat sivil yang diperuntukkan geran bernilai kira-kira RM203 juta dari 2019-2021.

Sumber juga berkata, daripada jumlah geran yang dibayar, hanya 40% dibelanjakan untuk tujuan yang dinyatakan oleh pemohon manakala selebihnya diselewengkan oleh eksekutif peringkat tinggi yang juga kroni pemimpin parti politik. – 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen