Isu doktor kontrak perlu penyelesaian terbaik, kata MMA


Raevathi Supramaniam

MMA berkata isu tersebut harus ditangani secepat mungkin atau negara bakal menyaksikan penghijrahan doktor kontrak ke luar negara apabila tuntutan mereka untuk diserap sebagai doktor tetap tidak dipedulikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

ISU lantikan tetap doktor kontrak di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan penyelesaian yang lebih mampan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden baharunya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata isu tersebut harus ditangani secepat mungkin atau negara bakal menyaksikan penghijrahan doktor kontrak ke luar negara apabila tuntutan mereka untuk diserap sebagai doktor tetap tidak dipedulikan.

“Walaupun terdapat sedikit kemajuan dalam isu doktor kontrak namun penyelesaian yang lebih mampan masih perlu dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebanyak 1,500 jawatan tetap diperuntukkan setahun bagi 3,000 doktor yang menamatkan pengajian setiap tahun, tambahnya.

Pada Julai tahun lalu, ratusan doktor kontrak seluruh negara mengadakan mogok dengan mengenakan pakaian berwarna hitam, berjalan keluar dari beberapa hospital utama  sambil membawa poster dengan slogan “Kami pakar masa depan”.

Mereka menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah sama seperti pegawai perubatan berjawatan tetap.

Ogos lalu,  Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya telah meluluskan 4,053 daripada 8,672 permohonan awal ke jawatan tetap membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak bagi tahun ini.

Ia merangkumi pegawai perubatan seramai 3,215 orang, pegawai pergigian (438) dan pegawai farmasi (400) manakala calon simpanan ialah 225 orang, katanya.

Menurut menteri itu, ini adalah penambahan jawatan tetap paling tinggi sejak 2016 sejak dasar kontrak dimulakan dan selepas ini sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun akan ditawarkan kepada pegawai kontrak.

KKM juga katanya akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menentukan sama ada mereka yang tidak berjaya memohon jawatan tetap boleh memohon semula atau sebaliknya. 

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata isu  lantikan tetap doktor kontrak di fasiliti KKM memerlukan penyelesaian yang lebih mampan, – Gambar ihsan MMA, 27 September, 2022.

Kurang doktor pakar

Isu lantikan tetap doktor kontrak jika tidak ditangani segera akan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam negara, kerana ramai doktor akan memilih berhijrah ke luar negara, kata Muruga Raj.

“Kita bakal menyaksikan bakat-bakat muda kita berhijrah untuk mengejar peluang yang lebih baik di luar negara,” katanya.

Tambah beliau, penghijrahan doktor-doktor kontrak akan mengakibatkan negara kekurangan doktor pakar pada masa akan datang. 

Satu lagi isu yang harus diberi perhatian ialah kes buli di hospital kerajaan, yang menurut kumpulan Hartal Doktor Kontrak sudah menjadi budaya.

Muruga Raj berkata beliau akan berusaha sebaik mungkin agar isu ini dapat ditangani.

“Ini tidak sepatutnya ada dalam sistem penjagaan kesihatan kita dan MMA akan melakukan yang terbaik untuk menghapuskan budaya toksik ini,” ujarnya.

Bekas presiden MMA Dr Koh Kar Chai pada Mei lalu berkata tidak banyak kes buli serius dalam kalangan pegawai dan doktor pelatih di hospital kerajaan.

Koh berkata laporan mengenai kes buli ini tidak seharusnya disalah tafsir kerana laporan sering memetik kes-kes lepas, seolah-olah ia kerap berlaku.

Wakil Hartal Doktor Kontrak Dr Omar Shahala berkata dakwaan Dr Koh itu ‘mengarut’, sambil menambah kes buli adalah masalah sistemik di hospital kerajaan. – 27 September, 2022.     


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen