Wajar laksana generasi penamat rokok, kata MMA


Persatuan Perubatan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata rancangan KKM untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi individu lahir selepas 2007 wajar diteruskan. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2022.

RANCANGAN Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi individu lahir selepas 2007 wajar diteruskan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dasar generasi penamat atau Generation End Game (GEG) yang ingin dilaksanakan antara lain antara lain bertujuan untuk melindungi kesihatan populasi dan menyelamat nyawa, malah mampu meringankan beban sistem kesihatan pada masa depan, tambah Presiden MMA Dr Koh Kar Chai.

“Kami faham ada kumpulan industri tertentu yang mungkin tidak gembira dengan langkah ini tapi kami percaya inilah masanya rakyat memberi keutamaan kepada gaya kehidupan sihat dan sejahtera.

“Biarpun ada dakwaan ia akan memberi kesan kepada ekonomi, setiap pihak perlu faham bahawa isunya bukan larangan serta merta merokok dan vape tetapi demi memastikan generasi akan datang tidak terkesan dengan amalan ini.

“Dari segi ekonomi, negara bakal dapat manfaatnya apabila rakyat tidak menanggung beban dijangkiti pelbagai penyakit berkait penggunaan tembakau termasuk masalah keradangan selaput paru-paru kesan mengguna e-rokok atau vape (EVALI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata matlamat utama di sebalik pelaksanaan GEG adalah untuk mengekang ketagihan terhadap produk tembakau dan vape, yang menurutnya langkah terbaik.

“Kita harus menghalang ketagihan awal dengan melarang generasi muda mengamalkan tabiat tidak sihat ini. Kita tahu malah lihat sendiri remaja seawal usia 14 tahun sudah cuba berjinak-jinak dengan rokok dan produk vape.

“Walaupun dengan mengharamkan penjualan rokok kepada 18 tahun dan ke bawah, kita masih tidak mampu menghalang generasi baharu daripada merokok.

“Dengan pelaksanaan yang betul, selain penguatkuasaan dan sokongan masyarakat, kami percaya GEG akan lebih berkesan dalam mengekang lebih ramai anak muda menjadi perokok dan pengguna vape,” katanya.

Tambahnya MMA percaya dengan pelaksanaan yang betul, penguatkuasaan dan sokongan orang awam terutama ibu bapa, GEG akan berkesan untuk mengekang ketagihan terhadap produk tembakau dan vape.

Dr turut menegaskan rancangan KKM untuk melaksanakan GEG perlu disokong kerana rawatan bagi penyakit serius disebabkan merokok atau vape memberikan kesan emosi dan juga kewangan. – 1 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen