Jangan panik beli ubat, kata persatuan perubatan


Persatuan Perubatan Malaysia berkata gangguan rantaian bekalan global juga menjadi faktor kurangnya ubat-ubatan di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik ubat-ubatan susulan bekalan didapati berkurangan di pasaran, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Pembelian panik atau pembelian dalam kuantiti yang banyak hanya akan memburukkan lagi keadaan, menurut presidennya Dr Koh Kar Chai.

“Nasihat kepada orang ramai adalah supaya tidak membeli secara panik dan menyimpan ubat-ubatan yang tidak diperlukan dengan segera” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata bekalan ubat-ubatan di pasaran sejak akhir-akhir ini kurang disebabkan aktiviti ekonomi dibenarkan semula, ditambah dengan permintaan terlalu tinggi terhadap ubat tertentu ekoran peningkatan kes Covid-19 varian Omicron.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara khusus jenis ubat yang kurang di pasaran.

Banyak farmasi serta pengilang dan pengedar sukar untuk memastikan bekalan sentiasa cukup apabila pembelian panik berlaku, katanya.

“Industri terpaksa menempah lebih banyak produk dari luar negara.

“Pengeluar tempatan pula terpaksa meningkatkan kapasiti pengeluaran, namun itu bergantung kepada bahan mentah dari luar negara.

“Bukan perkara mudah untuk meningkatkan pengeluaran hanya untuk menangani kekurangan bekalan di pasaran,” katanya.

Dr Koh menambah, gangguan rantaian bekalan global juga menjadi faktor kurangnya ubat-ubatan di pasaran, sekali gus menyukarkan firma tempatan meningkatkan pengeluaran.

“Selain bahan mentah, kilang juga dibina mengikut spesifikasi tertentu, yang mungkin tidak membolehkan sebarang peningkatan mendadak dan besar-besaran dalam kadar pengeluaran.”

Pada masa yang sama, MMA berharap situasi penawaran dan permintaan farmaseutikal dalam pasaran Malaysia pulih segera.

“Jika tidak diperbetulkan, bekalan ubat lain yang sebelum ini tidak terjejas pun akan terganggu,” katanya. – 2 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen