MMA gesa warga emas, individu komorbiditi suntik dos penggalak


Ravin Palanisamy

INDIVIDU berusia 60 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi dinasihatkan mendapatkan dos penggalak Covid-19 kerana negara sedang melaporkan peningkatan kes, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata sudah terbukti suntikan vaksin membantu mengurangkan keparahan jangkitan serta kemasukan ke hospital.

“Nasihat pakar perubatan adalah untuk mendapatkan dos penggalak pertama kerana bukti menunjukkan ia mengurangkan keterukan penyakit serta mengurangkan risiko masuk ke hospital jika dijangkiti.

“Perlu diketahui yang vaksin tidak menghalang seseorang daripada dijangkiti tetapi ia mengurangkan keterukan dan risiko kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Koh memberi amaran kepada mereka yang belum mengambil dos penggalak pertama agar segera mendapatkan suntikan, mendakwa imuniti daripada dos primer mereka akan berkurangan.

Beliau berkata mereka tidak seharusnya membebankan sistem penjagaan kesihatan.

Beliau juga menggalakkan dua golongan itu untuk mendapatkan suntikan penggalak kedua mereka.

“Mereka yang masih belum ambil dos penggalak pertama, anda dinasihatkan untuk dapatkan suntikan kerana imuniti yang diperoleh daripada dua dos pertama sudah berkurangan sekarang.

“Pada masa ini kita berhadapan dengan jumlah kes Covid-19 yang tinggi bersama-sama dengan banyak penyakit seperti influenza selain adalah lebih baik untuk tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan dengan kes-kes ini yang akan mengganggu rawatan perubatan bagi mereka yang memerlukan.

“Hanya pergi ke MySejahtera anda untuk tempah slot atau hubungi mana-mana pusat pemberian vaksin berdekatan untuk janji temu,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia masih belum mengambil suntikan penggalak Covid-19 mereka.

Beliau berkata, walaupun suntikan itu tidak diwajibkan, namun ia amat penting memandangkan kes positif Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutamanya Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti.

Dr Koh berkata bahawa orang ramai tidak seharusnya menunggu vaksin khusus varian kerana beliau mendakwa virus itu sentiasa bermutasi.

“Virus ini sentiasa berkembang dan kita akan berhadapan dengan lebih banyak varian baharu. Akan ada usaha yang tidak berkesudahan untuk mengeluarkan vaksin khusus varian tepat pada masanya sebelum varian baharu muncul,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata subvarian Omicron BA.5 yang sangat berjangkit telah dikesan di negara ini, yang berpotensi menyebabkan peningkatan kes harian. – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen