Praktik dasar tangani buli, bukan hanya tulis atas kertas, kata MMA


Persekitaran dan budaya kerja di fasiliti kesihatan hanya dapat diubah melalui tindakan susulan di lapangan serta di semua peringkat dasar, kata Persatuan Perubatan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2022.

DASAR yang akan dirangka Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu buli di fasiliti kesihatan awam harus dipraktikkan, bukan hanya ditulis di atas kertas, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata persekitaran dan budaya kerja di fasiliti kesihatan hanya dapat diubah melalui tindakan susulan di lapangan serta di semua peringkat dasar.

“Walaupun dapatan pasukan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang menyiasat buli mendapati 60% daripada responden menganggap budaya kerja di KKM adalah positif, bagaimanapun terdapat 20% mengesahkan wujudnya budaya buli berkenaan di tempat kerja.

“Disebabkan isu buli dalam KKM itu sudah berleluasa dan bukan lagi khabar angin, pihak kementerian perlu bertindak dengan memastikan dasar yang komprehensif dapat diambil mengikut saranan HWCITF supaya isu buli ini diatasi,” katanya dalam kenyataan.

Mei lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin umum HWCITF ditubuhkan bagi  mengkaji budaya kerja perkhidmatan penjagaan kesihatan susulan kematian seorang doktor berusia 25 tahun di Hospital Pulau Pinang pada April.

Katanya, HWCITF dipengerusikan bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Dr Siti Hamisah Tapsir, dan terdiri daripada lapan individu profesional lain yang pakar dalam bidang masing-masing.

Sekumpulan doktor yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata kes buli adalah perkara biasa di hospital kerajaan.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2022.

Mengulas lanjut, Dr Koh berkata tatacara kerja baharu untuk kakitangan KKM serta sistem merangkumi penguatkuasaan perlu dibangunkan bagi mengubah budaya kerja.

“Menerusi tatacara kerja itu, KKM perlu menekankan rasa hormat dalam kalangan rakan sekerja sebagai tunggak utamanya.

“Dalam penjagaan kesihatan, penghormatan terhadap orang ramai harus menjadi fokus utama mereka yang memberi perkhidmatan,” jelasnya.

Beliau selain itu mengucapkan terima kasih kepada HWCITF kerana berjaya melengkapkan laporan berkenaan serta mengemukakan cadangan bagi menambah baik sistem dalam KKM.

Tambah Dr Koh, tempoh masa perlu diberikan supaya semakan semula dapat dilakukan untuk melihat kesan pelaksanaan cadangan berkenaan serta membolehkan KKM mengeluarkan cadangan lanjut sekiranya perlu.

“Kami percaya platform HelpDoc yang MMA sediakan sejak 2017 untuk melapor isu buli akan berperanan penting pada masa depan. 

“Kami menggalakkan pekerja sektor kesihatan yang terjejas guna sepenuhnya platform ini. MMA akan melakukan segala termampu untuk membantu mereka,” katanya. – 20 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen