Malaysia berhadapan kurang bekalan ubat, kata MMA


Raevathi Supramaniam

KEKURANGAN ubat-ubatan di Malaysia disebabkan permintaan ubat di kaunter yang tinggi, gangguan rantaian bekalan, pengeluaran kurang semasa pandemik Covid-19, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Koh Kor Chai berkata peningkatan permintaan terhadap ubat demam, batuk, selsema dan sakit tekak juga disebabkan kes Covid-19 meningkat.

“Semasa pandemik, permintaan untuk ubat-ubatan tersebut adalah rendah yang menyebabkan ubat-ubatan dalam simpanan tamat tempoh,” kata Koh dalam satu kenyataan hari ini.

“Pengilang terpaksa mengurangkan pengeluaran mereka. Dengan peningkatan mendadak dalam permintaan, pengeluar terpaksa menyambung semula atau meningkatkan pengeluaran mereka untuk menampung permintaan.

“Ini tidak boleh berlaku dalam sehari kerana terdapat masalah logistik dan sumber yang besar untuk ditangani.”

Kekurangan bahan mentah juga menyebabkan masalah bagi pengilang, kata Koh.

Kekurangan di Malaysia bagaimanapun cuma kadang kala malah doktor telah bekerja keras untuk mencari alternatif, katanya.

“Ini adalah pilihan yang bagus untuk rawatan tetapi memberi tekanan kepada doktor yang perlu terus mencari bekalan perubatan alternatif.”

Walaupun Kementerian Kesihatan telah menawarkan untuk membenarkan klinik yang kurang stok memanfaatkan bekalan farmaseutikal mereka sebagai langkah jangka pendek dan begitu juga dengan hospital swasta tertentu, Koh berkata ini bukan penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju.

Mengenai bila bekalan akan kembali normal, Koh berkata keadaan tidak menentu.

“Keadaan tidak menentu dengan bekalan ubat yang berbeza terganggu pada masa yang berbeza dan di lokasi yang berbeza.”

Seorang doktor yang bekerja di sebuah klinik kerajaan di Negeri Sembilan memberitahu The Malaysian Insight yang mereka telah diberitahu untuk mengehadkan jumlah parasetamol yang mereka berikan.

“Kami kini hanya dibenarkan memberi satu strip panadol kepada setiap pesakit,” kata doktor yang tidak mahu namanya didedahkan.

“Memandangkan ini juga musim influenza, terdapat peningkatan permintaan terhadap panadol.

“Setiap hari saya nampak sekurang-kurangnya dua van penuh dengan pelajar dijangkiti influenza,” tambah doktor itu. – 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen