Bantahan tetap diteruskan Sabtu ini, kata Muda


Ravin Palanisamy

Muda berkeras tetap akan mengadakan bantahan pada hujung minggu ini walaupun polis beri amaran untuk tidak meneruskannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

MUDA akan meneruskan bantahan di luar komples membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur Sabtu ini walaupun polis memberi amaran ia tidak sah, kata Amir Hariri Abd Abd Hadi.

Setiausaha Agung Muda itu berkata hak untuk berkumpul, membantah dan bersuara dilindungi di bawah Perlembagaan dan pihak berkuasa tidak seharusnya menghalang.

“Kerajaan dan polis tidak boleh menghalang rakyat daripada bersuara setiap masa.

“Rakyat sepatutnya mempunyai hak untuk membantah bersama secara aman,” katanya.

Beliau berkata Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa sejata.

Bagaimanapun di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 mana-mana penganjur perhimpunan perlu memaklumkan ketua polis daerah secara bertulis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan itu.

Awal hari ini polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam himpunan “Nyawa Dulu Baru PRU” pada Sabtu ini anjuran Muda di ibu negara.

Dalam satu kenyataan ringkas Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata penganjur masih belum memaklumkan mengenai perhimpunan itu seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.

“Sehingga kini polis masih belum menerima notis.

“Polis juga menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan perhimpunan ini atau mengambil risiko tindakan tegas. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyertainya,” kata ketua polis daerah itu. 

Walaupun tidak memaklumkan secara rasmi melalui tulisan Amir berpendapat pengumuman Muda yang dibuat semalam sudah memadai untuk meneruskan perhimpunan itu.

“Daripada mengganggu kami polis hanya perlu menyediakan perlindungan yang diperlukan pada hari itu,” kata Amir.

Muda semalam berkata akan mengadakan bantahan pada hujung minggu ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini semasa musim tengkujuh.

“Kita masih ingat tentang banjir besar yang berlaku pada November lalu, Disember hingga Januari tahun ini di mana sehingga kini belum ada sebarang rancangan mitigasi yang diumumkan.

“Kami Muda dengan jelas menuntut tiada pilihan raya umum diadakan tahun ini,” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda Nurainie Haziqah Shafii di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Musim monsun kerap melanda antara Oktober dan Februari dan selalunya kawasan yang paling teruk dilanda banjir adalah di negeri utara dan pantai timur.

Nurainie juga membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan tidak bertanggungjawabnya bahawa BN bersedia menghadapi banjir untuk kempen pilihan raya mereka.

“Teguran itu dibuat walaupun Zahid dan pemimpin BN yang lain tahu banjir biasanya akan berlaku pada penghujung tahun.

“Kenyataan sebegitu (oleh Zahid) sama sekali tidak menggambarkan empati Keluarga Malaysia seperti yang didokong oleh perdana menteri,” katanya. 

Pada 17 September Zahid berkata walaupun kemungkinan banjir BN sanggup berdepan bencana itu untuk berkempen pada PRU15.

Beliau berkata sekiranya pilihan raya diadakan pada penghujung tahun jentera Pemuda BN akan bersedia menghulurkan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa bagaimanapun berkata kenyataan Zahid disalah tafsir.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata kenyataan Zahid sebenarnya merujuk kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN untuk menghadapi pilihan raya dalam apa jua keadaan.

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia tidak perlu menunggu lama sebelum pengumuman pilihan raya umum dibuat.

Beliau berkata rakyat perlu menunggu sedikit lagi kerana PRU15 akan diadajan selepas perbincangan dengan lima pemimpin tertinggi BN. – 22 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen