Dihalang berarak ke Parlimen, Majlis Peguam saman polis


Noel Achariam

Menurut Cheah tindakan undang-undang itu akan difailkan bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2022.

Majlis Peguam akan menyaman polis kerana menghalang peguam berarak dari Padang Merbok ke Parlimen bulan lalu.

Presidennya Karen Cheah berkata pihaknya kini sedang mempersiapkan dokumen untuk memfailkan tindakan undang-undang pada Ogos dan akan diwakili peguam Gurdial Singh.

“Kami tidak akan berundur, kami pasti akan saman polis atas pelanggaran yang berlaku pada hari kejadian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 17 Jun lalu ratusan peguam yang berhimpun di Padang Merbok untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menuntut badan kehakiman bebas dihalang daripada berarak ke Parlimen.

Memorandum itu akhirnya diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Mas Ermieyati Samsudin yang bertemu peserta protes di Padang Merbok.

Kata Cheah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 polis tiada hak untuk menghalang peguam daripada berjalan ke Parlimen dan sejak insiden itu pihaknya mengumpulkan bukti, dokumen, video dan gambar.

Beliau juga menegaskan Majlis Peguam mengutuk tindakan polis yang menghalang perarakan itu.

“Ini satu bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan awam sebab mereka sepatutnya memudahkan peserta serta pastikan keselamatan peserta sebaliknya mereka cuba gagalkan hak rakyat.

“Tindakan polis ini memberi contoh yang buruk kepada rakyat kerana ia menyampaikan mesej bahawa rakyat tidak bebas untuk berperlembagaan walau kita patuh pada undang-undang,” katanya. – 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen