China tahan lebih 200 suspek terbabit skandal bank


Seramai 234 orang ditahan di China berhubung skandal perbankan yang mencetus protes besar-besaran. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2022.

POLIS China menahan lebih 200 suspek yang dikaitkan dengan salah satu skandal perbankan terbesar di negara itu, yang mencetuskan protes besar-besaran yang jarang berlaku.

Empat bank di wilayah Henan, tengah China menghentikan pengeluaran tunai pada April ketika pengawal selia membanteras salah urus, membekukan dana ratusan ribu pelanggan dan mencetuskan bantahan yang berakhir dengan keganasan.

Polis berkata hari ini mereka menahan 234 orang berhubung skandal itu dan terdapat progres dalam mendapatkan semula dana yang dicuri.

“Satu kumpulan penjenayah… secara haram mengawal empat bank kampung dan bandar… dan disyaki melakukan beberapa siri jenayah berat,” kata polis di bandar Xuchang dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sektor perbankan luar bandar China terjejas teruk oleh usaha Beijing untuk mengekang gelembung hartanah dan hutang yang semakin meningkat dalam tindakan keras kewangan yang mempunyai kesan riak (ripple effect) di seluruh ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Pengawal selia menawarkan pembayaran balik secara beransur-ansur kepada pendeposit sejak pertengahan April.

Pada Isnin, pengawal selia perbankan dan insurans Henan berjanji membayar balik mereka yang telah mendepositkan antara 400,000 dan 500,000 yuan (AS$57,900 hingga $72,300) mulai minggu ini.

Pendeposit yang berhutang dengan jumlah yang lebih kecil telah dibayar lebih awal.

Saiz dan skala penipuan memberi tamparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan China, kata penganalisis, dengan bank terbabit didakwa beroperasi secara haram selama lebih sedekad.

Demonstrasi besar-besaran pada 10 Julai oleh pendeposit di ibu kota wilayah Henan, Zhengzhou, disuraikan dengan ganas, dengan penunjuk perasaan dipaksa menaiki bas oleh polis dan dipukul, menurut akaun media sosial saksi yang diberikan kepada AFP dan foto disahkan tulen. – AFP, 30 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen