Polis minta orang ramai tak sertai protes Muda Sabtu ini


Muda akan mengadakan bantahan pada hujung minggu ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini semasa musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

Polis meminta orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam protes anjuran Muda di kompleks beli-belah Sogo di ibu negara Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan ringkas Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata penganjur masih belum memaklumkan mengenai perhimpunan itu seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.

“Sehingga kini polis masih belum menerima notis.

“Polis juga menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan perhimpunan ini atau mengambil risiko tindakan tegas. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyertainya,” kata ketua polis daerah itu.

Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 mana-mana penganjur perhimpunan perlu memaklumkan ketua polis daerah secara bertulis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan itu diadakan.

Semalam Muda berkata mereka akan mengadakan protes pada Sabtu bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda Nurainie Haziqah Shafii berkata protes ‘Lives First Before Elections’ dijangka diadakan di luar kompleks membeli-belah Sogo pada Sabtu ini.

“Kita ingat tentang banjir besar yang berlaku pada November lalu, Disember hingga Januari tahun ini di mana sehingga kini belum ada sebarang rancangan mitigasi yang diumumkan.

“Kami Muda dengan jelas menuntut tiada pilihan raya umum diadakan tahun ini,” katanya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Musim monsun kerap melanda antara Oktober dan Februari dan selalunya kawasan yang paling teruk dilanda banjir adalah di negeri utara dan pantai timur.

Nurainie juga membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan tidak bertanggungjawabnya bahawa BN bersedia menghadapi banjir untuk kempen pilihan raya mereka.

“Teguran itu dibuat walaupun Zahid dan pemimpin BN yang lain tahu banjir biasanya akan berlaku pada penghujung tahun.

“Kenyataan sebegitu (oleh Zahid) sama sekali tidak menggambarkan empati Keluarga Malaysia seperti yang didokong oleh perdana menteri,” katanya. 

Pada 17 September Zahid berkata walaupun kemungkinan banjir BN sanggup berdepan bencana itu untuk berkempen pada PRU15.

Beliau berkata sekiranya pilihan raya diadakan pada penghujung tahun jentera Pemuda BN akan bersedia menghulurkan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa bagaimanapun berkata kenyataan Zahid disalah tafsir.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata kenyataan Zahid sebenarnya merujuk kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN untuk menghadapi pilihan raya dalam apa jua keadaan.

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia tidak perlu menunggu lama sebelum pengumuman pilihan raya umum dibuat.

Beliau berkata rakyat perlu menunggu sedikit lagi kerana PRU15 akan diadajan selepas perbincangan dengan lima pemimpin tertinggi BN. – 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen