Muda bantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh


Noel Achariam

Muda akan mengadakan bantahan pada hujung minggu ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini semasa musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

MUDA akan mengadakan bantahan pada hujung minggu ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini semasa musim tengkujuh.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda Nurainie Haziqah Shafii berkata protes ‘Lives First Before Elections’ dijangka diadakan di luar kompleks membeli-belah Sogo pada Sabtu ini.

“Kita diingatkan tentang banjir besar yang berlaku pada November lalu, Disember hingga Januari tahun ini di mana sehingga kini belum ada sebarang rancangan mitigasi yang diumumkan.

“Kami Muda dengan jelas menuntut tiada pilihan raya umum diadakan tahun ini,” katanya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Nurainie juga membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan tidak bertanggungjawabnya bahawa BN bersedia menghadapi banjir untuk kempen pilihan raya mereka.

“Teguran itu dibuat walaupun Zahid dan pemimpin BN yang lain tahu banjir biasanya akan berlaku pada penghujung tahun.

“Kenyataan sebegitu (oleh Zahid) sama sekali tidak menggambarkan empati Keluarga Malaysia seperti yang didokong oleh perdana menteri,” katanya.

Pada 17 September Zahid berkata walaupun kemungkinan banjir BN sanggup berdepan bencana itu untuk berkempen pada PRU15.

Beliau berkata sekiranya pilihan raya diadakan pada penghujung tahun jentera Pemuda BN akan bersedia menghulurkan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa bagaimanapun berkata kenyataan Zahid disalah tafsir.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata kenyataan Zahid sebenarnya merujuk kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN untuk menghadapi pilihan raya dalam apa jua keadaan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda Afiqah Zulkifli berkata kerajaan perlu mendedahkan kepada umum sebarang kelemahan dalam prosedur tindak balas banjir sedia ada.

“Ia tidak seharusnya disimpan secara eksklusif di dalam bilik mesyuarat kerajaan sebaliknya harus dikongsi dengan ahli Parlimen pembangkang, kumpulan masyarakat sivil dan orang ramai,” katanya.

Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet berkata orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui tindak balas jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang kerajaan kerana perkara itu adalah kepentingan negara.

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia tidak perlu menunggu lama sebelum pengumuman pilihan raya umum dibuat.

Beliau berkata rakyat perlu menunggu sedikit lagi kerana PRU15 akan diadajan selepas perbincangan dengan lima pemimpin tertinggi BN. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen