Terima kasih Gutenberg


Naim Al-Kalantani

Bagi beberapa penerbit, pengetahuan penilaian buku dari sudut luaran ini hanya diambil mudah. Mereka lebih mementingkan isi kandungannya berbanding rekaan dan material buku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

HARI Buku Sedunia jatuh pada 23 April pada setiap tahun. Sambutan ini diadakan oleh Unesco untuk mempromosi budaya membaca, penerbitan dan hak cipta.

Walaupun saya sudah mengenali buku mungkin bermula dari 2013, tetapi ia adalah sebagai satu bahan bacaan sahaja. Selepas saya melalui fasa yang agak lama semasa di latihan industri, saya memperoleh satu ilmu baru, iaitu bagaimana untuk melihat dan menghargai sesebuah buku dari sudut luarannya.

Bagi beberapa penerbit, pengetahuan penilaian buku dari sudut luaran ini hanya diambil mudah. Mereka lebih mementingkan isi kandungannya sahaja berbanding rekaan dan material buku. Tetapi ini yang menjadi masalah paling kanan jika ketinggian ilmu sesebuah buku itu tidak sejajar dengan persembahannya.

Di negara ini, saya boleh sebutkan beberapa buah penerbitan yang betul-betul menerbitkan buku seiring dengan isi kandungannya. Ia termasuklah Akademi Jawi Malaysia (AJM), Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan beberapa penerbitan lain yang berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan “ini adalah sebuah buku”.

Cuba kalian lihat material apa yang mereka guna; saiz buku yang mereka pilih; corak yang elegan setanding dengan isi kandungan buku; reka letak halaman yang sangat teratur dan memukau para pembaca; jenis dan saiz muka taip (font) yang digunakan, santak, jidar, jatak bahan teks, saiz kertas, jenis kertas, jenis sampul, teknik binding, sayap, warna lampir, pita langsar, bebat kulit, reben tanda dan 101 lagi hal-hal yang perlu atau boleh diambil perhatian untuk memberi roh kepada sebuah buku. Ini semua memainkan peranan penting dalam penerbitan sesebuah buku – bukan hanya bergantung kepada isi semata-mata.

Terbaharu, saya sempat membelek buku Risalah Untuk Kaum Muslimin karya Syed Muhammad Naquib al-Attas versi alih aksara kepada jawi. Itulah buku. Pemilihan dan keputusan yang dibuat oleh penerbit menjadikan buku itu berada di tahap yang tertinggi.

Jika kalian ada niat untuk menjadi seorang penerbit – atau menjadi penerbit – anda perlu melihat kembali sejarah bagaimana sesebuah buku itu dihasilkan.

Penghasilan buku ketika itu sudah sangat gah dan kini tugas kita adalah untuk menambah baik semua hal yang tidak dapat dilakukan pada ketika itu untuk menjadikan buku itu lebih baik, bukannya merendahkan kualiti percetakan buku.

Apa yang kita lihat dalam percetakan buku hari ini disebabkan satu peristiwa sejarah yang panjang sekitar tahun 1450 di belahan Barat dunia. Ketika itu, warga Kristian yang mempunyai Bible dianggap sebagai orang kaya.

Apatah tidak, untuk menyalin sebuah Bible, penyalin memerlukan lebih kurang tiga tahun untuk kerja tersebut. Dan ya, memang ada pekerjaan sebagai penyalin untuk menyalin kitab Bible ini.

Muncul seorang manusia bernama Johannes Gensfleisch zur Laden zum Gutenberg atau lebih dikenali sebagai Johannes Guternberg yang mengubah segala-galanya pada 1452. Dia yang hanya seorang tukang besi pada ketika itu sudah memikirkan masalah dalam penyalinan kitab Bible yang terlalu lama untuk disiapkan.

Jadi, dengan kepakarannya selaku pandai besi, dia mencipta satu mesin percetakan press. Disebabkan mesin itulah, sehingga kini, surat khabar dan media, kita masih memanggil ia sebagai “press”.

Besi dicairkan untuk dibentuk aksara, kemudian disusun untuk membuat satu halaman Bible yang ketika itu dalam bahasa Latin. Pun, teknik ini bukanlah satu teknik baharu.

China pada awal lagi menggunakan teknik ini menggunakan material kayu. Tetapi China mempunyai aksara yang terlampau banyak mencecah ribuan aksara menyebabkan proses untuk menyusunnya menjadi halaman buku merumitkan keadaan.

Syukur, bahasa Latin hanya menggunakan 52 aksara, termasuk huruf besar dan kecil dan beberapa aksara khas seperti noktah, koma, titik bertindih, pengikat kata dan beberapa yang lain. Aksara yang dibuat daripada besi ini disusun dalam satu blok, dan ia mengambil masa lebih kurang 14 jam untuk menyiapkan satu halaman Bible itu.

Kurang dari tiga tahun, Gutenberg menghasilkan 180 Bible. Tetapi malangnya kini hanya 49 salinan yang ada, kini tersimpan kemas di muzium, perpustakaan dan universiti. Kurang separuh daripadanya merupakan naskhah lengkap Bible, selebihnya adalah naskhah yang terpisah-pisah. Penilai yang mahir dalam buku nadir menyatakan bahawa Gutenberg Bible boleh mencecah sehingga AS$35 juta untuk sebuah naskhah.

Perlu digarisbawahi, sebelum tahun 1400, hanya ada 100,000 naskhah buku di belahan Barat. Selepas datangnya teknologi Gutenberg, ia seperti percikan yang mengagumkan. Pada penghujung abad itu, di Zaman Pencerahan, buku yang diterbitkan mencecah 10 juta naskhah.

Jika kalian dapat menelusuri bagaimana aksara dalam Bible itu disusun untuk menghasilkan sebuah buku, dan jika anda tahu bagaimana penghasilan sesebuah buku itu dibuat, anda tidak lagi berani untuk mempermainkan keindahan buku yang diterbitkan.

Tidakkah anda pernah melihat buku langka dari belahan Barat atau Eropah? Buku dengan kulit tebal, dihiasi dengan bermacam-macam corak sebagai bingkai buku. Ada juga yang menghiasi sisi buku dengan warna yang menarik menjadikan buku tersebut tampak mahal.

Tetapi kini buku yang diterbitkan di negara kita tidak menarik dari sudut persembahannya. Sepatutnya, ada buku yang perlu diberi perhatian khusus sebelum diterbitkan. Jika saya tidak keterlaluan, mengapa kita tidak menerbitkan buku setanding dengan percetakan Al-Quran yang cantik-cantik itu?

Keindahan dan estetika buku berada di tahapnya tersendiri. Untuk para penerbit, buatlah sebaiknya untuk melayani buku anda. Berilah buku tersebut roh yang sepadan dengan isi kandungan buku tersebut.

Banyak terjadi, saya melihat penerbit sekarang menerbitkan karya agung atau nama-nama penulis besar tanpa melihat material buku. Buku Jalaluddin Rumi, Syed Hussein Alatas, Ibnu Khaldun dan beberapa nama besar dunia lagi diterbitkan secara tidak berhemah dan tidak selayaknya dengan nama mereka.

Memetik kata seorang rakan dalam industri penerbitan buku, “Walaupun buku ini diterbitkan dengan gaya yang tidak adil sebegitu, tetapi ia sedikit pun tidak menjatuhkan maruah penulisnya.”

Tetapi barang diingatkan maruah penerbitlah yang akan dipandang serong kerana tidak prihatin terhadap dunia penerbitan dan ia merupakan satu penghinaan besar terhadap individu yang memberi ilmu pengetahuan yang sangat penting dalam dunia kini.

Gutenberg berjaya menerbitkan Bible dengan gah. Kini menjadi tugas kita menyambung keupayaan Gutenberg ke tahap yang lebih baik. Bukannya menerbitkan sembarang sahaja buku tanpa menilai sisi estetika dan nilai yang sepadan dengan buku tersebut. Terima kasih Gutenberg! – 25 April, 2024

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen