Polis siasat protes Turun, 30 orang akan dipanggil


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut polis, seramai 30 individu dikenal pasti dan kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Julai, 2022.

POLIS akan memanggil sekurang-kurangnya 30 orang yang terlibat dalam perhimpunan ‘Turun’ di depan Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman yang didakwa tidak mematuhi undang-undang di Kuala Lumpur, petang tadi.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Delihan Yahaya berkata mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Setakat ini, seramai 30 individu telah dikenal pasti dan kesemua individu yang terlibat dalam himpunan terbabit akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Keterangan mereka akan diambil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman mensyaratkan penganjur sesuatu perhimpunan memberitahu pihak polis mengenainya 7 hari sebelum.

Pelanggaran syarat itu boleh didenda RM10,000.

Noor Delihan memberitahu The Malaysian Insight pihaknya telah menghubungi mereka yang disiasat.

“Ada yang akan hadir Isnin, ada yang akan hadir Selasa ini,” tambahnya.

Sementara itu, setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Puchong, Mandeep Singh mengesahkan beliau antara yang dipanggil polis untuk siasatan.

Polis turut memanggil bekas aktivis pelajar Adam Adli yang kini ketua Pemuda PKR dan bekas setiausaha agung Muda, Amir Abd Hadi.

“Kami akan berbincang dengan peguam untuk proses seterusnya,” katanya 

Petang tadi, polis menyekat sekumpulan mahasiswa dan aktivis di depan pusat beli-belah Sogo daripada berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Mereka berhimpun bermula 2 petang membantah kenaikan kos sara hidup dan kegagalan kerajaan menangani krisis harga barang.

Polis menganggarkan perhimpunan disertai lebih kurang 100 orang, termasuk ahli beberapa parti politik.

Mereka berhimpun sambil mengangkat plakad dan pemidang antaranya bertulis “Potong Gaji Menteri”.

Mahkamah Rayuan pada 2014 pernah memutuskan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah sama bagaimanapun dalam satu keputusan beberapa bulan memutuskan ia berperlembagaan. β€“ 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen