Isu lompat parti boleh selesai jika laksana syor reformasi pilihan raya, kata Rashid 


Mohd Farhan Darwis Noor Azam Shairi

Bekas pengerusi SPR Ab Rashid Ab Rahman mendedahkan yang tidak tahu perkembangan terkini tindakan kerajaan berkaitan syor Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Jun, 2022.

ISU lompat parti, yang menjadi masalah besar politik sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14, boleh ditangani sekiranya kerajaan melaksanakan syor Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), kata bekas pengerusinya Ab Rashid Ab Rahman.

Rashid bagaimanapun berkata beliau tidak tahu apa sikap kerajaan sekarang terhadap cadangan pihaknya kerana tiada apa-apa perbincangan dan tindakan lanjut selepas laporan berkenaan disiapkan hampir dua tahun lalu.

Jelas beliau, semasa menyerahkan laporan kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri pada masa itu, pihaknya mencadangkan sebuah badan khas dibentuk untuk menguruskan isu-isu teknikal pelaksanaan syor ERC.

“Badan ini akan jadi urusetia jawatankuasa Kabinet untuk tentukan masalah dan keperluan jawatankuasa Kabinet itu disediakan.

“Tapi sampai sekarang senyap. Pertanyaan-pertanyaan kita buat selepas itu tak dijawab hingga kerajaan PN (Perikatan Nasional) jatuh, perdana menteri berubah, bertukar kepada yang ada sekarang.

“Syor ERC sudah melalui tiga tangan perdana menteri,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight di Kuala Lumpur.

ERC yang ditubuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada Ogos 2018 dengan mandat mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya, termasuk membandingkan sistem, peraturan dan amalan di Malaysia dengan negara demokrasi yang maju.

Jawatankuasa itu menyerahkan laporan awalnya kepada Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada Januari 2019. Pada 27 Ogos 2020, ia menyerahkan pula laporan penuh dan 49 syor kepada Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri selepas kerajaan PH tersingkir susulan percaturan politik Langkah Sheraton enam bulan sebelumnya.

Muhyiddin yang letak jawatan selepas kehilangan sokongan di Dewan Rakyat pada Ogos 2021 diganti oleh Ismail Sabri Yaakob.

“Kita dah cuba dekati kerajaan yang ada sekarang tapi nampaknya tiada respons. Kita tak tahu apa jadi dengan laporan itu,” tambah Rashid.

Pada Disember 2020, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji laporan ERC. Jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Kanan Mohamed Azmin.

Pelbagai janji reformasi dibuat Pakatan Harapan termasuk perubahan sistem pilihan raya terbengkala selepas ia tumbang selepas Langkah Sheraton. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2022.

“Saya ada bertemu sekali dengan Azmin, dia pun tak tahu sama ada jawatankuasa Kabinet itu diperlukan atau tidak sebab dah berubah kepimpinan,” kata Rashid.

Beliau juga memberitahu pihaknya sudah menulis kepada pentadbiran Ismail Sabri pada Oktober 2021 dan sehingga ini masih belum mendapat maklum balas.

Semasa menyerahkan laporannya kepada kerajaan pada Ogos 2020, Rashid berkata 32 daripada 49 syor ERC dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun jika kerajaan bersetuju dan meluluskannya, manakala baki 3 syor memerlukan masa antara lima hingga 10 tahun.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Rashid menjelaskan ada beberapa syor yang boleh dilaksanakan terus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia bersifat pentadbiran.

Ganti sistem pemenang undi terbanyak

Menurut Rashid, beliau tidak nampak bagaimana undang-undang anti lompat parti yang dijangka dibahaskan di Parlimen bulan depan boleh menyelesaikan masalah lompat parti.

Beliau berpandangan undang-undang itu dibuat tergesa-gesa dan tidak melihat secara menyeluruh isu-isu berkaitan pilihan raya.

“Saya rasa akan timbul banyak masalah kalau dibuat cara sekarang kerana (lompat parti) melibatkan personaliti calon. Ada juga calon yang lompat mungkin melompat bukan kerana dia nak lompat, mungkin kerana dia terpaksa lompat… mungkin juga, kita pun tak tahu,” katanya.

Rashid, yang berkhidmat dengan SPR antara 1979 hingga 2008 dan terlibat langsung mengendalikan enam pilihan raya umum, menjelaskan syor penambahbaikan pilihan raya turut merangkumi soal lompat parti.

ERC dalam laporannya antara lain mencadangkan sistem pilihan raya sekarang, iaitu sistem undian pemenang undi terbanyak yang diamalkan sejak Merdeka, ditukar kepada sistem perwakilan berkadar.

Antara syor ERC adalah menggantikan sistem pemenang undi terbanyak dengan sistem perwakilan berkadar yang membolehkan rakyat memilih parti dan bukannya calon. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Jun, 2022.

Sistem baharu itu membolehkan pengundi tidak lagi mengundi calon tetapi memilih parti, dan kerusi yang dimenangi parti kekal biarpun calon letak jawatan, meninggal dunia atau lompat parti.

“Ya, ‘proportional system’ (sistem perwakilan berkadar) boleh selesai lompat parti. Dia (pengundi) pilih parti, tak pilih calon… lebih adil. Setiap undi ada nilai.

“Kamu (parti politik) dapat kerusi berdasarkan jumlah undian parti dapat. Jadi, parti kecil akan dapat kerusi juga.

“Cara kita mudah sahaja, tak perlu ada (akta) anti lompat parti, tukar sistem pilihan raya, itu boleh kawal (aktiviti lompat parti),” katanya.

Sekiranya wakil rakyat yang terpilih melompat parti, kerusi yang dimenanginya kekal milik parti dan parti berkenaan boleh melantikan orang lain sebagai pengganti di Dewan Rakyat, jelasnya.

Dalam pada itu, Rashid berharap kerajaan baharu yang dipilih selepas PRU15 nanti akan meneliti laporan dan syor ERC.

“Saya hanya berharap kita akan ada pilihan raya tak lama lagi dan satu kerajaan baru yang sah dapat ditubuh di negara ini.

“Kita akan dekati kerajaan baharu kalau dia mahu laporan ini dikaji dan diberi perhatian,” katanya. – 27 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen