Naib presiden Bersatu kalah pemilihan bahagian


Abdul Rashid Abdul Rahman dikalahkan oleh pencabarnya, Mohamed Farid Mohamed Zawawi bagi jawatan ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

BEKAS pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Rashid Abdul Rahman gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu dalam pemilihan parti itu pada Sabtu lalu, lapor Malaysiakini.

Rashid adalah ketua protem Bersatu Kota Bharu dan ia adalah pemilihan pertama parti selepas penubuhannya pada 2016.

Menurut laporan Malaysiakini, Rashid dikalahkan oleh pencabarnya, Mohamed Farid Mohamed Zawawi, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Kelantan, Wan Rosli Wan Daud, mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan yang jawatan ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu kini disandang oleh Farid.

“Ya, jawatan ketua Bahagian Kota Bharu dimenangi oleh Mohamed Farid,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Kekalahan itu menjejaskan percubaan Rashid dalam mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden Bersatu.

Pemilihan di peringkat pusat akan bermula pada September setelah peringkat bahagian selesai. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen