Selepas reformasi pilihan raya, semua rakyat jadi 'SPR', kata Rashid


Noor Azam Shairi

Cadangan penambahbaikan pilihan raya akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju lain yang mengamalkan sistem pilihan raya yang demokratik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

SEMUA rakyat boleh jadi pemantau pilihan raya sekiranya kerajaan menerima dan melaksanakan sepenuhnya cadangan penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya yang sedang dikaji oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh kerajaan, kata pengerusinya Ab Rashid Ab Rahman.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tanggungjawab menjaga kewibawaan pilihan raya adalah tugas semua pihak, dan bukan kerja SPR sahaja.

“Kita hendak letakkan (pilihan raya di Malaysia) setaraf dengan yang dibuat di negara maju.

“Selepas ini rakyat adalah SPR. Maksudnya, SPR tak payah bersusah payah lagi kerana undang-undang dan peraturannya sudah ada.

“Rakyat sendiri yang akan memantau sejauh mana undang-undang dan peraturan itu dipatuhi,” katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, minggu ini.

Rashid mengetuai jawatankuasa khas meneliti sistem dan undang-undang pilihan raya negara dengan mandat tugas dua tahun sehingga Ogos 2020. Jawatankuasa diberi mandat mengemukakan cadangan pembaikan kepada kerajaan untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia berwibawa.

Rashid yang berpengalaman 27 berkhidmat di SPR – sebagai setiausaha dan kemudian pengerusi – berkongsi pengalamannya melihat perjalanan pilihan raya di negara lain.

“Saya malu dengan diri sendiri, macam mana masa pilihan raya kita ada beribu-ribu anggota polis menjaga keselamatan. Saya pergi negara lain macam Australia, polis tak ada sebab seluruh rakyat menjaga pilihan raya.

“Jaga pilihan raya itu maksudnya dia (rakyat) tidak akan langgar (peraturan), tidak mahu langgar dan dia tidak beri orang lain langgar peraturan. Parti politik pun begitu,” katanya.

Pengerusi jawatankuasa khas mengkaji pilihan raya Ab Rashid Ab Rahman berkata semua pihak patut menjaga kewibawaan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

Rashid menjelaskan pembaharuan yang sedang dikaji oleh jawatankuasa itu akan menjadikan undang-undang dan peraturan mengenai pilihan raya tidak lagi kabur dan boleh dipantau oleh semua pihak.

“Tidaklah saya kata 100 peratus perfect. Tidak ada yang begitu… tetapi kita akan ada apa yang disebut sebagai pilihan raya yang berwibawa,” katanya.

“Tiada ada siapa yang boleh persoal lagi, atau dakwa itu tidak betul, ini tidak betul.”

Menjadi rakyat celik pilihan raya

Bagaimanapun Rashid cepat menjelaskan semua itu boleh berlaku sekiranya pada masa sama rakyat diberikan pemahaman yang secukupnya mengenai pilihan raya.

“Saya terkejut banyak orang sebenarnya tidak tahu pasal pilihan raya,” katanya, merujuk pada sesi libat urus yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya sejak lebih setahun lalu.

Rashid memberikan contoh bagaimana banyak pihak tidak faham tentang pentingnya liputan media yang saksama kepada parti politik bertanding selain pemahaman pengundi mengenai parti politik serta perjuangan dan tawarannya dalam pilihan raya.

“Ini perlu melibatkan soal pendidikan. Rakyat perlu celek pilihan raya,” katanya.

Sejak penubuhannya pada Ogos 2018, jawatankuasa itu sudah mengadakan 18 pertemuan dengan pelbagai pihak di seluruh negara, melibatkan parti politik dan agensi kerajaan, badan masyarakat, pengamal media, dan ahli akademik.

Gabung undang-undang pilihan raya

Sementara itu, Rashid memaklumkan pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menyelaraskan semua perundangan mengenai pilihan raya ke dalam satu akta sahaja.

Kerajaan dicadangkan menyelaraskan semua perundangan mengenai pilihan raya ke dalam satu akta sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

Pada masa ini undang-undang mengenai pilihan raya termaktub dalam tiga akta iaitu Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan Akta Pilihan Raya 1958. Selain itu, SPR juga menguruskan pilihan raya dengan beberapa peraturan yang digubal melalui tiga akta berkenaan.

“Kita akan cadangkan supaya ada satu akta sahaja. Kita sudah tengok akta di negara maju,” katanya.

“Macam mana caranya kita serahkan kepada yang bijak undang-undang untuk buat.”

Rashid juga berkata pembaharuan pilihan raya yang dicadangkan nanti akan turut melibatkan pindaan undang-undang antaranya Perlembagaan Persekutuan, Akta Polis, dan Akta Pertubuhan.

Pada Julai lalu Parlimen meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur layak mengundi dan menjadi ahli parlimen daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Rakyat akan terima

Dalam pada itu, Rashid berkata beliau tidak nampak sebab kenapa cadangan jawatankuasa itu untuk memperbaiki sistem dan undang-undang pilihan raya akan dibantah oleh rakyat.

Katanya, tidak ada muslihat politik dalam usaha itu kerana itu jugalah yang selama ini dikehendaki oleh rakyat.

“Rakyat seluruh negara mahu perubahan ini, bahawa pilihan raya kita bebas, adil dan telus… padang permainannya rata,” katanya.

Cadangan penambahbaikan oleh jawatankuasa yang beliau pengerusikan itu juga akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju lain yang mengamalkan sistem pilihan raya yang demokratik, tambahnya.

“Kalau tidak, bukan pilihan raya demokrasilah… pilihan raya sahaja, tidak berapa demokratik… jangan kompelin.

“Kalau hendak pilihan raya demokratik, kita beri pilihan raya yang demokratik.

“Tiada ada isu lagi selepas ini,” katanya. – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen