Jabatan UM jamin isu pensyarah lekeh Bruce Gilley tak berulang


Universiti Malaya menerima kecaman hebat ekoran kenyataan Gilley yang memburuk-burukkan Malaysia dalam syarahan melibatkan konflik Palestin dan rejim Israel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2024.

JABATAN yang bertanggungjawab menjemput Bruce Gilley memohon maaf kerana membiarkan pensyarah Amerika Syarikat itu menyampaikan syarahan pro-Israel di Universiti Malaya.

Dalam kenyataannya, Jabatan Pengajian Antarabangsa Dan Strategik Universiti Malaya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan warga kampus itu.

Jabatan itu memberi jaminan akan mengambil langkah segera bagi menambah baik tapisan, perancangan dan penganjuran program.

Ia bagi memastikan platform di Universiti Malaya tidak dimanipulasi mana-mana pihak pada masa akan datang, kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Universiti Malaya menerima kecaman hebat ekoran kenyataan Gilley yang memburuk-burukkan Malaysia dalam syarahan melibatkan konflik Palestin dan rejim Israel.

Ia turut mengundang kritikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut berkata institusi pengajian tinggi Malaysia tidak sepatutnya mengundang pensyarah lekeh seperti Gilley.

Anwar dalam kenyataannya pada Jumaat menggesa universiti tempatan tidak menjemput cendekiawan lekeh seperti Gilley sebagai profesor jemputan.

Gilley dalam satu kenyataan mengenai syarahannya di Universiti Malaya pada Selasa menuduh pemimpin Malaysia mendukung holocaust kedua ke atas masyarakat Yahudi.

Oleh itu, Malaysia tidak akan menjadi pemimpin utama dalam hal ehwal antarabangsa dan tidak akan menjadi rakan Amerika Syarikat, dakwa Gilley.

Gilley dalam kenyataan di platform X mengenai syarahan tersebut membangkitkan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertanian Mohamad Sabu.

Gilley yang dikenali sebagai penyokong Israel kemudian memadamkan kenyataan tersebut selepas menerima pelbagai kecaman dan mendakwa bimbang dengan keselamatan dirinya.

Beliau juga mendakwa Malaysia sebagai negara yang tidak selamat untuk dilawati.

Kenyataan itu disanggah Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur yang menyebut, Malaysia tetap selamat untuk dilawati dan merupakan antara rakan utama negara tersebut.

Pensyarah kontroversi itu juga dikenali sebagai cendekiawan yang mendukung kolonialisme Barat yang disifatkannya sebagai satu usaha yang sah mengikut undang-undang.

Universiti Malaya juga sudahpun mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kerana menjemput Gilley dan mengkritik pensyarah itu atas kenyataan yang memburuk-burukkan Malaysia.

Gilley dikesan dijemput menyampaikan syarakat dan mengendalikan bengkel tiga hari bermula 22 April.

Satu lagi program bertarikh 25 April menampilkan Bruce Gilley dikesan dipromosi sejak 9 April lalu oleh Institut Pengajian Cina UM. – 28 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen