Perangai Jerman di Afrika


Faisal Tehrani

BARU-BARU ini apabila Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Antarabangsa atas jenayah genosida, negara Jerman mengada-ngada menyatakan hasrat untuk mencelah, dan mempertahankan Israel.

Tentulah sikap ini hanyir dan memualkan memandangkan Jerman bertanggungjawab melakukan genosida terhadap bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

Tindakan ini mempamerkan kegilaan yang mana bukan sahaja Jerman menafikan apa yang berlaku di Palestin hari ini (100 hari pesta bunuh) tetapi dalam masa sama menunjukkan dirinya sebagai terpaling rasa bersalah dan bertanggungjawab oleh nasib Israel.

Sebetulnya Jerman bertanggungjawab terhadap banyak jenayah genosida, dan belum memohon keampunan.

Hasrat Jerman untuk mencelah dan membelakan Israel itu dengan segera ditempelak oleh Namibia yang mengingatkan perbuatan ganas dan genosida pertama dilakukan oleh Jerman di abad ke-20 ketika menjajah negara tersebut.

Insiden genosida jahat itu dikenang sebagai Genosid di Herero dan Nama (sekarang di Namibia). Ia dilakukan tentera penakluk Jerman antara 1904 ke 1907.

Tentu sahaja kenyataan diplomatik Presiden Namibia Hage Geingob yang mengecam Jerman kerana ingin membenarkan tindakan Israel melakukan genosida di Palestin itu merupakan satu perbuatan berani. Ia dilakukan dengan cara paling memalukan, persisnya menyapukan tahi ke muka Jerman.

Di Malaysia, atau rantau kita, kekejaman penakluk terhad dikenal antara kuasa kolonial Inggeris (ingat pembunuh beramai-ramai di Batang Kali), Sepanyol di Filipina, Belanda di Kepulauan Indonesia, dan Amerika Syarikat di Vietnam.

Juga tentu kita mengingat perbuatan Jepun terhadap orang kita di saat Perang Dunia.

Tidak ramai mengetahui kejahatan Jerman misalnya di Afrika. Genosida di Herero sangat menakutkan, juga demikian busuk.

Dalam usaha menakluk Herero, tentera Jerman diketuai Lothar von Trotha melaksanakan dikri “Vernichtungsbefehl” (Arahan Pembersihan) yang berbunyi: “Dalam kawasan takluk Jerman, setiap Herero, samada bersenjata atau tidak, bersama ternakan atau tidak bersama, mestilah dihabisi.”

Di Herero, tentera Jerman menggiring bangsa Herero ke gurun Omaheke, mengepungnya. Kemudian Jerman mendirikan menara kawalan, meracun bekalan air, menikam dengan bayonet mana-mana yang cuba melarikan diri dan melihat serta membiarkan mereka mati kebuluran dan kedahagaan.

Mereka yang terselamat dan masih hidup kemudian dipaksa bekerja. Kerjanya bukan apa, yang lelaki diberi beban berat manakala yang wanita disuruh merebus kepala tentera Herero untuk disiat kulitnya. Tengkorak kepala pejuang Herero dikirim pulang ke Jerman untuk “kajian”.

Kegilaan Jerman di Afrika tidak berhenti setakat di Namibia, di Timur Afrika, Jerman juga pernah bermaharajalela. Jika kita membaca novel penerima Hadiah Nobel 2021, Abdul Razak Gurnah kita akan mendapati Jerman melakukan keganasan yang tiada taranya di Tanzania, Burundi dan Rwanda.

Khusus dalam novel Gurnah berjudul Paradise (1994) dan Afterlives (2020), keganasan kolonialisme Jerman yang dirujuk sebagai Mdachi, dan tentera upahannya askari, tidak pernah berhenti disifatkan sebagai jahat, syaitani dan tiada belas kasihan.

Kezaliman ini dimulai oleh Hermann von Wissmann terhadap populasi tepian pantai antara tahun 1889 dan1890, apabila Jerman memerintah wilayah Timur Afrika sebagai jajahan niaga menerusi German East Africa Company.

Dalam karya Gurnah, pembunuhan Al Bushiri, ditonjolkan dalam Afterlives. Sementara dalam Paradise pula Gurnah menceritakan perihal orang tidak bersalah apa pun digantung tanpa dosa. Kejahatan Jerman ini disokong oleh tentera upahan dari Afrika sendiri – askari – yang bangga dilihat sebagai raksaksa “merciless angry bastards”.

Salah satu peristiwa genosida paling kejam dilakukan adalah ketika pertempuran dikenali sebagai Perang Maji Maji 1905-1907, di mana Gurnah menggambarkan insiden ini sebagai penyerakan tengkorak dan tulang dengan bumi dibasahi darah; “the Germans have killed so many that the country is littered with skulls and bones and the earth is soggy with blood.”

Lebih 300,000 nyawa dipercayai terkorban dengan taktik penyekatan dan halangan bekalan makanan sehingga populasi yang terjajah ini mati dek kebuluran.

Gurnah dalam Afterlives, secara bijak menghubungkan penjajahan Jerman di Afrika dengan keganasan Nazi kemudiannya di Eropah. Di hujung kolonialisme di Timur Afrika, watak Ilyas, seorang askari yang hilang selepas 1918 dimunculkan semula di Jerman dalam tahun 1920-an.

Dalam sejarah Jerman, tentera upahan Afrika pembelot ini memang ramai yang berpindah ke Jerman selepas membunuh. Akan tetapi dalam era Perang Dunia Kedua, sebagai satu karma, identiti mereka itu tidak diiktiraf dan mereka beramai-ramai ditangkap di kem Nazi dan berpenghujung kematian dengan cara bunuh atau kebuluran.

Hari ini, dek keceluparan dan kebodohan Jerman membelakan Israel di Mahkamah Antarabangsa, Namibia dengan gesit mengambil peluang keperwiraan Afrika Selatan untuk menyelar dan membambu Jerman sebagai pembuli dan penjenayah genosida.

Jika tidak kerana kebebalan Jerman itu, kita di rantau ini tentu sahaja tidak akan sedar atau mengetahui apa yang dilakukan oleh kuasa ini di Afrika. Syukur tembelang Barat dan kuasa kolonial tertelanjang semaunya.

Oleh kehanyiran dan kenajisan tingkah laku Jerman ini, para seniman dan penggerak budaya di Eropah menyerukan tindakan boikot dilakukan terhadap Jerman.

Produk Jerman mulai dipulau. Antara mereka yang berani memimpin gerakan boikot Jerman ini ialah seorang lagi penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan (2022) selepas Gurnah iaitu Annie Ernaux dari Perancis.

Beliau bersama-sama 500 lagi karyawan sedang berusaha keras mempromosikan boikot ini agar meluas ke serata dunia, untuk menekan sekutu Israel agar berhenti menyokong genosida di Palestin, khusus Gaza yang melampaui 100 hari. – 16 Januari, 2024.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen