Susah nak jadi Muslim yang baik di penjara, kata Wan Ji


Alfian Z.M. Tahir

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan bersalah menyiarkan kenyataan yang menghina Sultan Selangor menerusi Facebook, 11 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2024.

JABATAN Penjara perlu berubah kerana sistem sedia ada sekarang sudah lapuk, sekurang-kurangnya untuk banduan beragama Islam, kata pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Mengenang kembali ketika menjalani hukuman penjara dalam kurungan seorang diri selama tiga bulan, Wan Ji, 42, berkata beliau sukar untuk mengetahui sama ada sudah masuk waktu solat atau tidak.

Pendakwah berasal dari Kelantan itu berkata di kebanyakan masanya, beliau hanya mengagak-agak waktu solat.

“Saya kadang-kala terbangun di tengah malam, tidak tahu sama ada itu waktu solat Subuh atau tahajud.

“Sama juga pada waktu siang, saya terpaksa agak masa. Tertanya-tanya adakah sudah masuk Zuhur atau belum? Penjara tidak beritahu anda waktu solat,” kata Wan Ji.

Wan Ji dibebaskan dari Penjara Kajang baru-baru ini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen.

Beliau sebelum itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan bersalah menyiarkan kenyataan menyinggung dan menghina Sultan Selangor menerusi Facebook, 11 tahun lalu.

Objektif hukuman penjara adalah menjadikan seseorang individu itu lebih baik, kata Wan Ji.

“Jadi kalau anda tidak boleh solat, yang wajib dalam Islam, bagaimana hendak jadi seseorang yang lebih baik?

“Kalau anda tidak dapat mengubah seseorang ketika dia sedang dipenjarakan atas perbuatan salah, tidak tercapai matlamat sesebuah institusi penjara.

“Jabatan Penjara patut memudahkan banduan. Anda hendak mereka berubah, tetapi tidak benarkan mereka lakukan perkara asas seperti solat,” katanya.

Wan Ji berkata beliau tidak diberikan hak untuk mengamalkan agamanya sebagai seorang umat Islam.

“Saya diletakkan dalam kurungan seorang diri selama tiga bulan dan 10 hari. Saya lebih ‘bahaya’ berbanding banduan lain. Saya dalam keadaan hampir hilang kewarasan.

“Biasanya, blok kurungan seorang diri adalah untuk mereka yang bergaduh (dalam penjara), hisap rokok atau dadah. Mereka diasingkan di blok yang dinamakan Blok Insaf,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula isu itu bagi membenarkan banduan yang dikurung di kurungan seorang diri diberikan hak untuk mengamalkan agama mereka.

Susulan pembebasannya, Wan Ji berkata beliau kini akan fokus untuk menyiapkan ijazah kedoktorannya (PhD).

Katanya, beliau kini mengalami masalah penglihatan sejak dipenjarakan.

“Saya sedang fokus untuk siapkan PhD. Saya dapat tangguh pengajian kerana menjalani hukuman penjara.

“Tetapi saya menghadapi masalah mata. Penglihatan saya bertambah teruk kerana membaca dalam gelap ketika di dalam penjara. Tidak ada yang boleh dilakukan di penjara kecuali membaca.

“Saya habis membaca 36 buku dalam tempoh tiga bulan dalam kurungan seorang diri. Cahaya lampu sangat terhad. Ada lampu kecil dan setiap kali hendak membaca pada waktu malam, saya perlu rapatkan mata dengan buku.

“Pada waktu siang, lampu dimalapkan. Cahaya matahari tidak banyak. Oleh kerana saya tidak berada bersama banduan lain, saya hanya membaca atau menulis. Itu sebabnya mata saya jadi penat dan sekarang penglihatan saya sangat teruk,” katanya.

Wan Ji kini ahli PKR selepas beralih dari parti PAS.

Beliau juga pernah menjadi penasihat hal ehwal agama Islam kepada Lim Guang Eng ketika Lim ketua menteri Pulau Pinang.

Wan Ji juga dikatakan rapat dengan Anwar dan mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga allahyarham Nik Aziz Nik Mat. – 1 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen