Polis tahan Papagomo, didakwa hina Agong


Pihak polis mengesahkan Papagomo ditahan di rumahnya di Setapak, hari ini. – Gambar Facebook, 30 April, 2024.

AKTIVIS politik Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali sebagai Papagomo, ditahan hari ini kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iiskandar.

Beliau ditahan susulan kenyataannya dalam video pendek di media sosial yang mempertikaikan pertemuan Agong dengan Pengasas KK Mart Chai Kee Chan, pada kemuncak kontroversi mengenai stoking tertera kalimah Allah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan The Star sebagai berkata Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuat tangkapan awal hari ini.

“Beliau ditahan susulan laporan polis yang dibuat seorang peniaga berusia 41 tahun yang melihat video itu di media sosial pada Isnin (29 April).

“Papagomo ditahan di rumahnya di Setapak,” kata KPN.

Razarudin berkata polis akan membuat permohonan reman terhadap Papagomo sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Beliau ditahan di ibu pejabat polis Dang Wangi,” katanya. – 30 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen