Reformasi pilihan raya perlu walaupun tidak untungkan kerajaan, kata Ab Rashid


Noor Azam Shairi

Ab Rashid Ab Rahman berkata perubahan itu penting untuk Malaysia kerana akhirnya mempunyai sistem dan undang-undang pilihan raya yang bebas, adil dan telus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Disember, 2019.

PUTRAJAYA tahu penambahbaikan pilihan raya mungkin tidak akan menguntungkannya sebagai  pemerintah tetapi perubahan itu penting untuk Malaysia akhirnya mempunyai sistem dan undang-undang pilihan raya yang bebas, adil dan telus, kata pengerusi jawatankuasa Ab Rashid Ab Rahman.

Rashid mengetuai jawatankuasa khas meneliti sistem dan undang-undang pilihan raya negara dengan mandat tugas dua tahun sehingga Ogos 2020.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata keterbukaan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad mahu mengubah sistem dan undang-undang pilihan raya adalah “hadiah” kepada rakyat.

“Kerajaan mana yang hendak buat macam ini? Bodohlah kerajaan itu, tetapi bolehkah kita kata kerajaan bodoh apabila sekarang ini kerajaan sudah membuka (jalan)... buatlah, perbetulkanlah.

“Ini hadiah yang amat berguna daripada kerajaan,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Putrajaya pada 16 Ogos 2018 melantik Ab Rashid mengetuai Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, dengan mandat mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia berwibawa dan mendapat kepercayaan umum.

Keterbukaan kerajaan PH mahu mengubah sistem dan undang-undang pilihan raya adalah 'hadiah' kepada rakyat. kata Ab Rashid Ab Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2019.

Kenyataan Jabatan Perdana Menteri ketika itu memberi kuasa kepada jawatankuasa ini untuk mengkaji sistem yang dipakai di negara demokrasi lain yang telah mencapai standard pilihan raya demokratik yang bebas, adil dan telus. 

Ia juga memberi mandat kepada jawatankuasa untuk mewujudkan “padang permainan yang sama rata” kepada semua pihak yang menyertai pilihan raya.

“Ini peluang keemasan untuk menentukan pilihan raya di negara ini bebas dan adil,” kata Rashid.

Rashid, 77, mempunyai 27 pengalaman berkhidmat dengan SPR, termasuk mempengerusikannya antara 2000 hingga 2008.

Jelas beliau, Dr Mahathir sendiri yang mahukan sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia diperbaiki setelah ada desakan daripada pelbagai pihak.

“Dia (Dr Mahathir) kata, kita gentlemen. We fight like gentlemen (kita lawan cara jantan), dia kata,” tambah Rashid.

Desakan untuk sebuah pilihan raya yang adil disuarakan dengan lantang dan tersusun oleh gerakan masyarakat sejak 2006 atas nama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau Bersih, tiga tahun selepas Dr Mahathir bersara kali pertama sebagai perdana menteri.

Badan yang kini dikenali sebagai Bersih 2.0 sehingga kini sudah mengadakan lima siri tunjuk perasaan dan rapat umum, yang turut disertai rakyat Malaysia di beberapa bandar utama dunia. 

Perhimpunan terakhir ialah pada 2016, dua tahun sebelum pilihan raya umum bersejarah Mei 2018 yang mengubah kerajaan pertama kali sejak Malaysia merdeka.

“Orang tahu apa yang kita ada dan apa yang kita tidak ada. Orang boleh buat perbandingan. 

“Kita kata ini negara demokrasi, pilihan rayanya adil tetapi mereka tahu apa yang tidak adil,” kata Rashid. – 20 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen