Laporan awal kajian pilihan raya diserah kepada PM, kata jawatankuasa


Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya yang diketuai Ab Rashid Ab Rahman (Kiri) menyerahkan laporan awal kajian yang dijalankan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. – 13 Januari, 2020.

JAWATANKUASA Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) hari ini menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad laporan awal kajian yang dijalankan sejak penubuhannya pada Ogos 2018.

Laporan itu mengandungi syor-syor penambaikan sistem dan undang-undang pilihan raya, bertujuan meningkatkan tahap demokrasi pilihan raya di negara, kata jawatankuasa itu.

“ERC akan mengambil tindakan seterusnya bagi menyediakan satu laporan penuh yang akan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir selewat-lewatnya bulan Ogos 2020,” kata kenyataan itu.

Putrajaya pada 16 Ogos 2018 melantik bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ab Rashid Ab Rahman mengetuai ERC dengan mandat mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia berwibawa dan mendapat kepercayaan umum.

Kenyataan Jabatan Perdana Menteri ketika itu memberi kuasa kepada jawatankuasa ini untuk mengkaji sistem yang dipakai di negara demokrasi lain yang telah mencapai standard pilihan raya demokratik yang bebas, adil dan telus.

Dalam tempoh 16 bulan lalu, jawatankuasa tersebut telah mengadakan 21 sesi libat urus dengan pelbagai pihak di seluruh negara bersama parti politik dan agensi kerajaan, badan masyarakat, pengamal media, dan ahli akademik.

Dalam proses itu, jawatankuasa tersebut memberi tumpuan kepada 15 kajian khusus untuk meningkatkan tahap demokrasi pilihan raya, termasuk membandingkan amalan di negara maju.

Antaranya termasuk menukar sistem pilihan raya bagi kawasan Parlimen daripada sistem undian pemenang undi terbanyak kepada sistem pilihan raya perwakilan berkadar.

Di bawah sistem itu, pengagihan kerusi di Parlimen ditentukan mengikut peratusan undi yang diperolehi parti dalam pilihan raya, yang juga akan menjamin perwakilan wanita dan kumpulan minoriti.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan tempoh bertenang sebelum pengundian.

Selain sesi libat urus, jawatankuasa itu juga menerima pandangan dan maklum balas secara bertulis daripada pelbagai pihak, kata kenyataan itu.

“ERC mengucapkan terima kasih atas sokong dan kerjasama yang telah diperlihatkan oleh semua pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik.”

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada Disember 2019, Ab Rashid berkata keterbukaan kerajaan pimpinan Dr Mahathir mahu mengubah sistem dan undang-undang pilihan raya adalah “hadiah” kepada rakyat.

“Kerajaan mana yang hendak buat macam ini? Bodohlah kerajaan itu, tetapi bolehkah kita kata kerajaan bodoh apabila sekarang ini kerajaan sudah membuka (jalan)... buatlah, perbetulkanlah.

“Ini hadiah yang amat berguna daripada kerajaan,” katanya.

Ab Rashid juga memberitahu The Malaysian Insight penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya itu nanti akan menjadikan tanggungjawab menjaga kewibawaan pilihan raya sebagai tugas semua pihak, dan bukan kerja SPR sahaja.– 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen